NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) sebulat suara menuntut satu gencatan senjata segera, tanpa syarat dan kekal di Gaza serta akses bantuan kemanusiaan, pada Khamis.
Resolusi itu diluluskan beberapa hari selepas Amerika Syarikat(AS) menggunakan kuasa veto terhadap usaha sama di Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Daripada 193 negara ahli, 149 mengundi menyokong, 19 berkecuali, manakala AS, Israel dan 10 negara lain mengundi menentang.
Resolusi tersebut turut menuntut pembebasan tebusan yang ditahan Hamas di Gaza, pemulangan tahanan Palestin oleh Israel serta pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah tersebut.
Teks resolusi itu turut mengutuk keras penggunaan kelaparan terhadap orang awam sebagai senjata perang, serta penafian akses bantuan kemanusiaan yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa.
Resolusi Perhimpunan Agung PBB tidak mengikat secara undang-undang, namun dianggap mencerminkan suara dan pendirian masyarakat antarabangsa terhadap isu semasa.
Beberapa resolusi terdahulu berkenaan Gaza turut diabaikan oleh pihak yang terlibat dalam konflik.
Libya, melalui dutanya ke PBB, Taher El-Sonni, memberi amaran keras mengenai negara anggota yang menekan butang merah hari ini untuk menolak resolusi ini dengan menyifatkannya ‘bakal menjadi noda darah di jari mereka’.
Pengundian itu berlangsung menjelang Persidangan PBB minggu hadapan yang dijangka memberi nafas baharu kepada usaha penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin.










