GEORGE TOWN: Serangan terhadap Iran di samping sekatan terhadap Gaza serta Tebing Barat mesti ditamatkan segera selain mendesak supaya hak asasi rakyat negara itu dihormati.
Pengerusi Pertubuhan Penang4Palestine, M.S. Anuar Mahmod berkata, semua pihak termasuk negara Islam tidak boleh berdiam diri dengan membiarkan apa yang berlaku terhadap penduduk Palestin termasuk nyawa wanita dan kanak-kanak yang terkorban.
“Negara-negara Islam dan dunia Arab tidak boleh terus membisu dalam isu ini. Sikap membisu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan dan memberi ruang kepada genosid untuk terus berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Tegas beliau, masyarakat dunia perlu bangkit bukan sahaja dengan simpati, tetapi dengan keberanian dan tindakan nyata untuk menghentikan keganasan Israel.
Dalam pada itu, M.S. Anuar berkata, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya tindakan terkini rejim Israel yang melancarkan serangan udara terhadap Iran sejak Jumaat lalu.
Beliau berkata, serangan itu yang turut disertai oleh serangan tidak berperikemanusiaan di Gaza merupakan satu bentuk genosid atau pembunuhan beramai-ramai secara sistematik.
“Tindakan Israel (menyerang) adalah pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana melibatkan serangan terhadap infrastruktur strategik milik sebuah negara yang berdaulat.
“Serangan ini bukan sahaja meningkatkan ketegangan serantau, malah, berpotensi mencetuskan konflik berskala lebih besar di Timur Tengah (Asia Barat),” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penggerak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Pulau Pinang berkata, tindakan agresif rejim Zionis terhadap Iran dilakukan dalam masa yang sama Israel meneruskan tindakan kejam terhadap rakyat Palestin di Gaza.
“Rakyat Palestin kini kebuluran akibat sekatan makanan dan ubat-ubatan. Hospital runtuh, khemah pelarian dibom dan ribuan kanak-kanak terbunuh tanpa belas kasihan,” katanya.
Jelas beliau, Penang4Palestine turut menyokong penuh misi kemanusiaan ‘Flotilla to Gaza’ yang sedang dalam perjalanan membawa bantuan ke wilayah itu, meskipun diancam oleh tentera laut Israel.
“Selain itu, kami juga bersolidariti bersama gerakan ‘Marching to Gaza’ yang digerakkan oleh masyarakat antarabangsa sebagai simbol keberanian dan kebangkitan dalam menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.
“Dalam hal ini, kami menyeru agar semua tindakan ketenteraan dan provokasi oleh Israel dihentikan serta-merta. Bukan sahaja terhadap Iran tetapi juga di bumi Palestin,” katanya. – UTUSAN