PETALING JAYA: Pemain gitar kumpulan Spring, Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail, 56, meninggal di kediamannya di Miri, Sarawak, sekitar pukul 1 pagi tadi.
Berita duka itu dikongsikan oleh Timbalan Presiden Muzik Malaysia, Ayob Abd Majid menerusi sebuah hantaran di Facebook.
“Dengan penuh rasa hiba dan dukacita ingin mengucapkan takziah atas pemergian sahabat lama Iskandar Spring yang telah kembali ke rahmatullah.
“Arwah bukan sekadar seorang pemuzik berbakat dan pengasas kumpulan Spring, malah juga seorang sahabat seperjuangan yang sangat dekat di hati saya.
“Kami pernah bekerja rapat semasa saya bertugas di Sony Music, di mana kumpulan Spring berada di bawah jagaan saya ketika itu. Hubungan kami bukan sekadar profesional, malah penuh nilai persahabatan dan saling menghormati,” katanya.
Dalam hantaran sama, Ayob memaklumkan kali terakhir mereka bertemu ketika penyerahan sumbangan kepada pemain gitar berkenaan.
“Saya turut bersedih kerana mengikuti rapat keadaan kesihatan arwah yang diuji dengan strok dan kegagalan buah pinggang, sebelum berhijrah ke Miri, kampung isterinya.
“Kali terakhir kami berhubung ketika saya menyampaikan sedikit sumbangan. Suaranya tetap tenang, sabar dan penuh rasa syukur walaupun dalam ujian yang berat,” kongsinya.
Ayob dalam pada itu menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar dalam industri muzik tanah air yang harus dikenang.
“Arwah tidak pernah dilupakan oleh sahabat-sahabat seni. Malah kami di Konsortium Irama, bersama PJ Art Lane, Ameng Spring, dan Umarul Iklim pernah menganjurkan program amal khas untuk membantu meringankan beban beliau ketika sedang uzur.
“Program itu bukan sekadar mengumpul dana, tetapi lambang kasih dan setia kawan dalam dunia seni tanah air.
“Pemergiannya adalah satu kehilangan besar buat dunia muzik Malaysia. Legasi arwah akan terus dikenang,” ujarnya.
Terdahulu, Iskandar menghidap pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, kesukaran bertutur, lumpuh selain perlu menjalani rawatan dialisis akibat komplikasi buah pinggang.
Untuk info, kumpulan Spring diasaskan Iskandar pada 1987.