Institusi Islam Pemangkin Masyarakat Madani - Tun Ramli

Institusi Islam Pemangkin Masyarakat Madani – Tun Ramli

RAMLI Ngah Talib (tengah) ketika menghadiri sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri Pulau Pinang di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib hari ini menyeru semua pihak termasuk institusi masjid, surau, sekolah, jabatan kerajaan dan pusat pengajian Islam untuk terus memainkan peranan dalam membentuk masyarakat madani yang berpaksikan ajaran Islam.

Menurut beliau, usaha membina ummah madani perlu bermula dari rumah kerana ia adalah tempat pendidikan awal yang dibentuk melalui kelembutan seorang ibu serta ketegasan seorang ayah yang menjadi asas kepada pembinaan sahsiah anak-anak.

“Dalam hal ini, komuniti yang harmoni dan saling membantu juga memainkan peranan penting untuk menyatupadukan masyarakat meskipun berlatarbelakangkan perbezaan.

“Saya harap agar institusi-institusi ini akan terus memainkan peranan secara lebih aktif dalam mendidik masyarakat, khususnya generasi muda, agar sentiasa berpegang kepada prinsip dan nilai yang digariskan oleh Islam,” katanya ketika berucap semasa majlis sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri beliau, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid serta beberapa kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar satu acara tahunan yang bersifat rasmi, sebaliknya, ia turut dianggap sebagai medan untuk menghayati semangat hijrah Rasulullah SAW yang sarat dengan pengorbanan, hikmah serta nilai keimanan yang tinggi.

“Oleh itu, kita perlu jadikan ketibaan tahun baharu Islam ini sebagai waktu untuk bermuhasabah dan memperkukuhkan kekuatan rohani serta jasmani dalam menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ramli turut menzahirkan rasa syukur kerana Pulau Pinang yang dihuni pelbagai kaum dan agama dapat menyambut Maal Hijrah dalam suasana harmoni dan sederhana, selaras dengan semangat hijrah yang sebenar.

Menyentuh mengenai tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu Membangun Ummah Madani pula, beliau berkata, ia sangat bertepatan dengan matlamat hijrah yang bukan hanya bersifat fizikal, tetapi merangkumi perubahan nilai, pemikiran dan tindakan ke arah masyarakat berakhlak mulia.

“Negeri ini (Pulau Pinang) berdepan dengan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, jurang sosial dan cabaran budaya digital. Namun, saya yakin rakyat Pulau Pinang mampu kekal teguh dengan nilai-nilai murni seperti toleransi dan persefahaman,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN