MELAKA: Inisiatif kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) memperkenalkan lafaz taklik dalam tulisan Braille membuktikan komitmen dalam memartabatkan prinsip kesaksamaan dan keterangkuman sistem perundangan syariah.
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, Mahani Masban berkata, inisiatif bertujuan memudahkan proses akad nikah bagi orang kurang upaya (OKU) penglihatan itu mencerminkan nilai Islam sebagai agama rahmat untuk sekalian alam.
“Pendekatan seperti ini amat signifikan dalam memacu reformasi perundangan syariah yang lebih inklusif dan berperikemanusiaan, seiring prinsip Madani dan keadilan sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.
JAIM memperkenalkan lafaz taklik tulisan Braille bagi memudahkan urusan pernikahan OKU penglihatan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia adalah yang pertama di Malaysia bagi membantu pengantin lelaki OKU penglihatan membaca lafaz itu sewaktu kadi menikahkan pasangan.
Mahani berkata, Wanita PKR menyambut baik kesungguhan JAIM dalam memastikan hak golongan OKU sebagai mukalaf terus dipelihara termasuk dalam urusan penting seperti akad nikah dan ikrar taklik yang membawa implikasi hukum.
“Inisiatif tersebut wajar dijadikan contoh di peringkat nasional agar prinsip ‘tiada seorang pun yang ditinggalkan’ benar-benar dapat direalisasikan dalam semua dasar kerajaan.
“Kami yakin bahawa apabila pentadbiran Islam dijalankan dengan ikhlas, progresif dan praktikal, maka ia mampu menyantuni seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira keupayaan fizikal,” katanya. – UTUSAN










