Ibu tunggal tidak mengaku eksploitasi seks anak kandung - Utusan Malaysia

Ibu tunggal tidak mengaku eksploitasi seks anak kandung

WANITA yang didakwa dua pertuduhan memperdagangkan anak perempuannya bagi tujuan eksploitasi seksual sejak tiga lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdagangkan anak perempuannya bagi tujuan eksploitasi seksual sejak tiga lalu.

Tertuduh yang berusia 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, suri rumah itu didakwa memperdagangkan anak kandungnya yang berusia 17 tahun ketika kejadian bagi maksud eksploitasi seksual di sebuah rumah di Flat Taman Sentosa 2, Sitiawan antara tahun 2022 hingga 3 September 2023.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga suri rumah itu turut didakwa mengikut Seksyen 12 ATIPSOM 2007 kerana memperdagangkan mangsa sama bagi maksud eksploitasi dengan cara menggunakan kekerasan untuk memaksa mangsa bekerja sebagai pekerja seks.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di rumah sama antara 4 September 2024 sehingga 7 Jun 2025.

Jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali selain tidak mengganggu saksi, termasuk dua lagi anaknya yang berusia 16 dan 19 tahun.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan wanita itu bertemu dua remaja itu sekiranya mereka bersedia namun perlu disertai dengan kehadiran pegawai penyiasat.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 31 Julai depan untuk lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN