PETALING JAYA: Pelakon, Azhan Rani, menyifatkan insiden seorang pakcik dihalau keluar dari masjid sebagai bukti adegan yang sering dipaparkan dalam drama memang terjadi di kehidupan nyata.
Jelas Azhan, 49, dia teringat babak dalam drama Nur lakonannya apabila seorang Tok Siak menghalau Nur dari masjid hanya kerana dia bekerja sebagai perempuan lorong.
“Dalam drama Nur siapa ingat ada satu babak Nur yang cuba datang ke masjid dibaling selipar hanya kerana Nur perempuan lorong yang dirasakan tak layak berada di rumah Allah?
“Itu dalam cerita. Cuma tentang pakcik ini, ia di dunia realiti. Kebenaran itu pahit.
“Dalam drama, orang boleh melenting dan marah kalau sisi ‘kudis’ kehidupan ini diceritakan.
“Tapi mampukah kita menolak realiti kehidupan yang tidak lari daripada kudis yang kita bencikan,” tulisnya menerusi satu hantaran di media sosial.
Bagaimanapun, pelakon Seribu Tahun itu berharap agar perkara ini dijadikan iktibar kepada masyarakat.
“Semoga yang keruh dapat dijernihkan. Semoga ada pengajaran untuk kita semua, InsyaAllah.
“Doa yang baik-baik buat pakcik itu, juga yang merekodnya. Andai hari ini tersasar, moga esok akan ada jalan pulang untuk kita semua,” tambahnya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang wanita bertindak merakam dan menghalau seorang lelaki yang sedang beriktikaf di sebuah masjid di Telok Panglima Garang, Selangor.
Jelas wanita tersebut, dia terpaksa melakukan perkara itu kerana mahu mengelak daripada berlaku kecurian selain menjimatkan kos penyelenggaraan. -UTUSAN