Ibarat dilanda gempa bumi

Ibarat dilanda gempa bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KEROSAKAN kenderaan dan potensi maut. Itu yang terpaksa dilalui oleh penduduk Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang sejak lebih 10 tahun lalu ketika melalui jalan raya dari Kuala Tahan ke Mat Daling.

Kos yang dikeluarkan kerajaan setiap tahun untuk membaik pulih kerosakan jalan di situ juga cukup besar iaitu lebih RM30 juta, namun boleh dianggap pembaziran kerana tidak menyelesaikan punca sebenar permasalahan.

Selagi pembinaan jalan dan infrastruktur dilakukan tanpa penilaian impak alam sekitar (EIA), maka kesannya seperti runtuhan cerun dan mendapan akan terus berulang, termasuklah isu kenderaan berat.

BEGINILAH keadaan jalan yang terpaksa dilalui penduduk kampung pedalaman di Jerantut, Pahang sejak lebih 10 tahun lalu. – MINGGUAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

JERANTUT: Kira-kira 3,000 penduduk Ulu Tembeling di sini serta pelancong dari dalam dan luar negara berdepan cabaran perhubungan darat apabila jalan raya dari Kampung Tuit, Kuala Tahan ke Mat Daling sejauh 48 kilometer (km) masih tidak sempurna sejak dibina pada 2015.

Dalam tempoh 10 tahun, jalan raya di situ kekal berada di takuk lama apabila kerap berlaku runtuhan cerun, permukaan tidak rata akibat mendapan seolah-olah dilanda ‘gempa bumi’.

Sewaktu musim tengkujuh bermula pada penghujung September hingga menjelang awal tahun, runtuhan cerun dan mendapan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan penduduk terputus hubungan, tidak boleh keluar ke bandar Jerantut.

Difahamkan, kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan besar yang dianggarkan melebihi RM30 juta setiap tahun bagi membaik pulih cerun yang runtuh dan mendapan di sepanjang laluan.

Kata penduduk, faktor kerosakan jalan raya berkemungkinan kerana kerap dilalui kenderaan berat seperti lori balak, lori muatan batu dan peralatan binaan yang berulang alik lebih 30 kali sehari dari bandar Jerantut ke Ulu Tembeling.

Tinjauan Mingguan Malaysia dengan menaiki kereta mendapati, terdapat hampir 11 lokasi cerun runtuh dan mendapan yang sedang dibaik pulih kontraktor.

Penduduk juga berdepan masalah apabila jalan masuk ke perkampungan pesisir Sungai Tembeling iaitu Kampung Kuala Sat, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai dengan jarak antara lima hingga lapan km masih belum diturap.

Permukaan tanah merah dan berkerikil akan menjadi lebih teruk ketika berlaku hujan lebat terutama pada musim tengkujuh.

Kerosakan jalan raya Kuala Tahan-Mat Daling termasuk laluan masuk ke kampung-kampung terlibat cukup memberikan kesan kepada pergerakan harian penduduk serta pembangunan ekopelancongan pesisir Sungai Tembeling dan Jeram Perahu.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Helen Bong Sze Wai berkata, isu berkenaan khususnya dari Kampung Pagi ke Kampung Gusai memberi kesan besar kepada kelestarian alam sekitar dan sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Menurutnya, isu runtuhan jalan dan cerun adalah disebabkan beberapa faktor, bukannya semata-mata kerana bentuk muka bumi yang tidak sesuai.

“Pembinaan jalan dan infrastruktur sering dilakukan tanpa penilaian impak alam sekitar (EIA) yang menyeluruh atau tidak diikuti dengan langkah mitigasi yang sewajarnya.

“Cerun dipotong secara drastik tanpa pengukuhan struktur geoteknikal yang sesuai, menyebabkan hakisan tanah dan tanah runtuh. Kawasan Ulu Tembeling mempunyai jenis tanah laterit dan kawasan batuan yang mudah terhakis apabila terdedah tanpa litupan tumbuhan.

“Struktur geologi yang kompleks serta curam menambah risiko pergerakan tanah, terutama pada musim hujan. Hujan lebat luar biasa yang kini semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global juga menyumbang kepada kegagalan cerun dan struktur jalan di Ulu Tembeling,” katanya.

BERI PERHATIAN TIGA PERKARA UTAMA

KEROSAKAN jalan raya Kuala Tahan-Mat Daling termasuk laluan masuk ke kampung-kampung terlibat cukup memberikan kesan kepada pergerakan harian penduduk. – MINGGUAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Sze Wai berkata, daripada sudut alam sekitar, tiga perkara utama perlu diberikan perhatian.

Beliau berkata, pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang tidak terkawal boleh menyebabkan hakisan tanah yang mana sedimen dan lumpur masuk ke dalam Sungai Ulu Tembeling.

“Ini akan mengancam ekosistem akuatik dan mengurangkan kualiti air yang turut memberi kesan kepada spesies endemik serta sumber air penduduk,” katanya.

Menurutnya, laluan yang tidak dirancang rapi akan merentas kawasan hutan simpan atau hutan dara yang menjadi habitat penting kepada flora dan fauna.

Ia boleh menyebabkan kehilangan biodiversiti yang tinggi termasuk spesies yang dilindungi seperti harimau, tapir dan gajah.

“Keindahan semula jadi Ulu Tembeling merupakan aset utama pelancongan lestari di kawasan ini. Jalan yang rosak atau mengganggu lanskap semula jadi boleh menjejaskan pengalaman pelancong serta imej kawasan sebagai destinasi eko dan budaya,” katanya.

Ujarnya, penyelesaian masa­lah runtuhan jalan dan cerun memerlukan pendekatan holistik, lestari dan berpaksikan kepada keseimbangan antara pembangunan serta perlindungan alam semula jadi.

PUNCA GAJAH HILANG HABITAT

KERJA-KERJA menambak semula tebing yang runtuh di laluan menuju Kampung Kuala Sat, Jerantut, Pahang. – MINGGUAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Pembukaan hutan dan pembalakan di Ulu Tembeling turut memberi impak kepada habitat gajah.

“Apabila kawasan hutan berkurang, gajah terpaksa mencari makanan dan ruang hidup yang baharu, yang seringkali membawa haiwan itu lebih kerap hadir kepada kebun dan penempatan penduduk.

“Isu ini memerlukan perhatian daripada semua pihak untuk mencari penyelesaian yang seimbang. Pendekatan yang berkesan termasuk pemuliharaan habitat, pendidikan komuniti tentang cara mengurus konflik antara manusia dan hidupan liar serta kerjasama antara pihak berkuasa dan penduduk tempatan.

“Dengan usaha bersama, kita boleh mencapai keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar,” kata Sze Wai.

Penduduk Kampung Bantal, Jamizan Rashid mempersoalkan sampai bila masyarakat Ulu Tembeling perlu berdepan gangguan sedemikian.

“Tidak dinafikan punca kerosakan jalan seperti berlaku mendapan, berlopak, turapan tar pecah dan sebagainya di beberapa tempat kemungkinan kerap dilanyak oleh kenderaan berat seperti lori muatan balak yang berulang alik sejak lebih 10 tahun lalu ketika jalan tanah merah (balak), sebelum laluan baharu dibina dan dibubuh tar.

“Penduduk di sini berharap ada usaha mengurangkan pengeluaran kayu-kayan pada masa akan datang untuk menghindarkan kerosakan lebih teruk dan berulang, selain berdepan banjir musim tengkujuh akibat alam sekitar tidak dijaga,” katanya.

Penduduk Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah berkata, dia pernah beberapa kali mengalami kerosakan kereta di bahagian gandar pemegang roda apabila terjatuh dalam lubang mendap.

“Kejadian tayar kereta dan motosikal pecah memang kerap berlaku ketika melalui laluan berkerikil akibat mendapan sehingga turapan tar pecah dan berlekuk.

“Penduduk pada mulanya berasa gembira dan bersyukur menikmati kemudahan ini beberapa tahun lalu, sebaliknya bertukar duka apabila sering kali berdepan cabaran ini,” katanya.

Penduduk Kampung Kuala Sat, Rahimi Othman berkata, kerosakan jalan raya jelas memberi impak kurangnya kehadiran pelancong luar dan domestik.

“Berikutan banyak kawasan laluan yang rosak dan mendap, pelawat domestik yang menggunakan motosikal berkuasa tinggi kurang melawat ke kampung ini. Mereka cuma menggunakan kereta, bas manakala kebanyakan pelancong luar menaiki bot penambang dari Kuala Tahan,” katanya.

Rahimi berkata, dia bimbang jika keadaan berterusan, pelancong tidak lagi menggunakan jalan darat.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin mengakui kerap menerima rungutan daripada penduduk berhubung masalah perhubungan ke bandar Jerantut.

“Setiap kali Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), saya kerap membangkitkan isu jalan raya di kawasan tersebut supaya dinaik taraf laluan lebih sempurna untuk keselesaan penduduk dan pelancong termasuk penjagaan alam sekitar,” katanya.

Pelancong dari Belanda, Martijn Rick berkata, pengalaman melalui jalan rosak di beberapa lokasi ketika berkunjung ke pusat peranginan Kampung Kuala Sat bukanlah sesuatu yang diinginkan.

“Bas yang kami naiki melambung ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata, berasa takut ketika berselisih dengan lori kayu balak yang mendaki laluan berbukit,” katanya.

Martijn memberi contoh di negara maju, jalan raya antara kemudahan penting untuk pembangunan sektor pelancongan dan penempatan yang selesa bagi penduduk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN