Jualan pendingin hawa meningkat 30 peratus

Jualan pendingin hawa meningkat 30 peratus

AIN Hamdan mengakui permintaan pendingin hawa di kedai elektronik di Mid Valley Megamall meningkat berikutan cuaca panas yang melanda sekarang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan pendingin hawa meningkat 30 peratus susulan cuaca panas melampau yang melanda negara sejak kebelakangan ini apabila orang ramai mula mencari alternatif bagi memastikan keselesaan di rumah.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati trend pembelian turut didorong faktor cuaca panas selain persediaan menjelang musim perayaan serta perpindahan ke kediaman baharu.

Seorang pekerja kedai elektrik, Ain Hamdan berkata, permintaan pendingin hawa meningkat kira-kira 30 peratus sejak minggu lalu berbanding sebelum ini hanya sekitar 10 hingga 20 peratus.

Katanya, peningkatan itu jelas terutama dalam kalangan penghuni kondominium, rumah flat serta mereka yang baru berpindah.

“Menjelang Aidilfitri baru-baru ini, kami berjaya menjual antara lima hingga enam unit pendingin hawa.

“Meskipun kami masih belum menawarkan sebarang promosi kepada pengguna, permintaan tetap meningkat,” katanya.

Sebelum ini, pakar klimatologi dan perubahan iklim, Prof. Dr. Fredolin Tangang berkata, kebarangkalian fenomena El Nino berlaku pada musim barat daya tahun ini melebihi 70 peratus dan dijangka meningkat kepada sekitar 80 hingga 90 peratus menjelang penghujung tahun.

Seorang pengguna, Putri Syarifah Halim pua berkata, perubahan cuaca ketika ini jelas berbeza berbanding sebelum ini dan memberi kesan kepada kehidupan hariannya.

“Cuaca panas terik menyebabkan badan cepat penat dan mudah jatuh sakit. Saya kerap memasang pendingin hawa terutama pada waktu siang dengan suhu sekitar 23 darjah Celsius.

“Bagi saya, pendingin hawa kini boleh menjadi keperluan terutama jika ada anak kecil, walaupun pada masa sama ia juga satu kehendak,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Adletic Agency, Firash Fhansuri Musa berkata, penggunaan pendigin hawa di pejabatnya meningkat kepada kira-kira tujuh jam sehari, berbanding hanya beberapa jam sebelum ini.

“Jika keadaan cuaca panas ini berlarutan, penggunaan akan diteruskan setiap hari, namun ia akan memberi kesan kepada peningkatan bil elektrik serta kos penyelenggaraan pejabat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN