JOHOR BAHRU: Hospital Pasir Gudang (HPG) yang menelan kos lebih RM380 juta dijangka beroperasi secara berfasa mulai bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menyerahkan projek tersebut kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“HPG sah akan mula beroperasi pada bulan depan secara berfasa, kita mula dengan beberapa jabatan tertentu dahulu seperti Unit Kecemasan, kesihatan awam dan pembedahan am.
“Kita ada 14 klinik pakar di HPG, mungkin sebahagian klinik pakar tersebut akan dikemudiankan kerana kita perlu dapatkan doktor-doktor pakar ataupun pasukannya yang lengkap sebelum menawarkan perkhidmatan tersebut,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Yayasan Sultanah Fatimah 2025 kepada Kolej Universiti Selatan, di sini hari ini.
HPG mula dibina pada 2020 secara berfasa susulan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Tian Soon berkata, beberapa jawatan penting telah dibuat lantikan, antaranya Pengarah dan Timbalan Pengarah.
“HPG mendapat kelulusan perjawatan lebih 1,800, namun memang ada kekangan capai angka itu.
“Oleh itu, kami sedang buat perancangan untuk mohon dengan pihak kementerian supaya mereka hantar jururawat dan doktor untuk berkhidmat di HPG ataupun akan pindah sebahagiannya daripada fasiliti sedia ada supaya bantu HPG agar ia boleh beroperasi pada bulan depan,” katanya.
Katanya, HPG memerlukan tempoh setahun bagi mengisi perjawatan yang diperlukan sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.
“Kita jangka HPG akan beroperasi sepenuhnya pada tahun depan. Bagi masa setahun supaya kami dapat penuhkan semua perjawatan dan juga lengkapkan doktor pakar dan mesin-mesin yang ada di hospital tersebut supaya boleh beroperasi secara sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN