Maria Chin gagal peroleh kebenaran merayu

Hina Mahkamah Syariah: Maria Chin gagal peroleh kebenaran merayu

MARIA CHIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah gagal mendapatkan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung surat tunjuk sebab kerana menghina Mahkamah Syariah.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan dan bersidang bersama Hakim Datuk Abu Jais Bakar dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak permohonan Maria selepas mendapati tiada isu baharu ditimbulkan bagi membolehkan rayuan didengar dan tidak membuat sebarang perintah berkenaan kos.

Dalam kes sivil, mana-mana pihak ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian terlebih dahulu.

Pada 27 November 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Maria memulakan semakan kehakiman bagi mencabar notis tunjuk sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

Notis itu dikeluarkan selepas Maria mengkritik keputusan mahkamah berkenaan yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi yang merupakan bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin

Maria diwakili oleh peguam-peguam, Bahari Yeow dan Rosli Dahlan manakala Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly hadir bagi pihak kerajaan.

Peguam Datuk Akberdeen Abdul Kader yang hadir sebagai peguam pemerhati kepada SM Faisal ketika ditemui media memberitahu, dengan keputusan itu, Maria perlu mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah.

Pada 22 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Maria untuk memulakan semakan kehakiman selepas memutuskan beliau tidak mencabar mana-mana bahagian undang-undang Islam bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, tetapi bidang kuasa mahkamah itu menetapkan prosiding komital terhadapnya.

Dalam semakan kehakiman itu, wanita terbabit antara lain memohon perintah bagi membatalkan tindakan dan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah bertarikh 14 Oktober 2019 yang membenarkan Perintah Kebenaran Pengkomitan dan Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan ke atasnya.

Maria mendakwa pengeluaran perintah itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan serta menyalahi Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1998).

Permohonan memulakan prosiding komital (hina mahkamah) dikemukakan SM Faisal selepas Maria mengeluarkan komen mengkritik keputusan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia Hanafi kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka tanpa kebenaran.

Pada 4 Disember 2020, Maria diperintah mengemukakan tunjuk sebab mengapa beliau tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mengkritik keputusan Mahkamah Tinggi Syariah selepas permohonannya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mencabar keputusan mahkamah itu ditolak.

Mahkamah Tinggi Syariah kemudian pada 25 April 2022 menjatuhi hukuman penjara tujuh hari kepada Maria selepas beliau didapati menghina mahkamah melalui artikel yang diterbitkannya pada 5 September 2018.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN