KEJAYAAN sambutan tahunan Hari Landskap Negara (HLN) diteruskan lagi pada tahun ini bagi edisi ke-26 yang bakal diadakan di Taman Bandar, Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, Johor.
Usaha berterusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) menganjurkan Sambutan HLN pada setiap tahun, kali ini mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang akan berlangsung selama enam hari bermula 25 Jun ini.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, sekali gus menjadi suntikan semangat kepada penganjur dan masyarakat setempat untuk menjayakan sambutan berskala kebangsaan ini.
Menurut Ketua Pengarah JLN, Mansor Mohamad, pemilihan Pasir Gudang sebagai lokasi sambutan adalah berdasarkan lokasi yang strategik serta komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh MBPG dalam memperkasa landskap bandar lestari.

Pasir Gudang bukan sahaja pesat membangun secara fizikal, dalam masa yang sama komited memelihara alam sekitar dan memiliki jaringan komuniti yang menyokong pelaksanaan inisiatif hijau.
Pasir Gudang menawarkan kemudahan prasarana yang mencukupi, lokasi strategik di selatan tanah air, dan mempunyai potensi pelancongan hijau yang boleh diketengahkan kepada pengunjung dari seluruh negara.
Taman Bandar Bukit Layang-Layang pula sememangnya dikenali umum sebagai lokasi festival termasuk di peringkat antarabangsa seperti Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang.
Selain memiliki keindahan alam semula jadi yang mempesonakan, taman ini juga mempunyai kemudahan lengkap dan lokasi strategik yang menjadi tumpuan masyarakat.
HLN yang mula diperkenalkan pada 3 Mac 1998 kini menjadi acara tahunan penting, bertujuan untuk menyemai kesedaran di kalangan masyarakat terhadap kepentingan landskap dalam kehidupan. Tarikh tersebut dipilih berdasarkan kepada pelancaran Kempen Tanam Pokok Seluruh Negara pada 3 Mac 1997.
Tahun ini, HLN membawa tema “Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani”, bertepatan dengan agenda kerajaan untuk menjadikan landskap sebagai sektor berimpak tinggi yang menyumbang kepada kesejahteraan dan kemampanan negara.
“Industri landskap bukan hanya berkisar pada kehijauan persekitaran, tetapi merangkumi sub-sektor pembinaan, perkhidmatan, pembuatan, tanaman hiasan dan peruncitan yang menjana ekonomi,” jelas Mansor ketika ditemui selepas majlis prapelancaran Sambutan HLN 2025 yang dirasmikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Putrajaya, Khamis lalu.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, industri landskap negara telah menyumbang sebanyak RM39.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2024, meningkat daripada RM35.6 bilion tahun sebelumnya.
Menurut Mansor, jumlah Ini menunjukkan pertumbuhan yang konsisten dan potensi besar industri untuk terus berkembang, terutama dengan trend pembangunan perumahan baharu di kawasan seperti Lembah Klang dan Johor.
Tambah beliau, landskap kini menjadi faktor penting dalam jualan hartanah yang menjadi daya tarikan kepada pembeli. Terdapat lebih 26,000 entiti perniagaan aktif dalam sektor landskap – melibatkan kontraktor, nurseri, pengilang, dan perunding arkitek landskap.
Syarat penyediaan 10 peratus kawasan lapang bagi setiap pembangunan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) juga menjadi pemangkin kepada permintaan berterusan terhadap landskap.
“Ruang hijau ini bukan sahaja memenuhi syarat pembangunan, malah menjadi ruang ketiga yang penting kepada masyarakat – selepas rumah dan tempat kerja,” katanya lagi.
Lebih menarik, HLN 2025 turut menyediakan sebanyak 120 gerai jualan dan pameran, pelbagai aktiviti seperti forum industri, diskusi usahawan serta demonstrasi produk landskap yang menjadi platform interaksi langsung di antara penggiat industri landskap, agensi kerajaan dan masyarakat.
Penganjuran pada tahun lalu berjaya menarik hampir 130,000 pengunjung, dan kali ini penganjur yakin mampu untuk melepasi angka tersebut walaupun tempoh sambutan hanya selama enam hari.
Antara objektif sambutan HLN 2025 ialah untuk meningkatkan kesedaran dan apresiasi terhadap landskap terutamanya dalam kalangan generasi muda, di samping menyebar luas kepentingan landskap terhadap kesejahteraan kehidupan melalui program pembangunan landskap yang komprehensif.
Selain itu, melalui penganjuran ini boleh meningkatkan kualiti pembangunan landskap negara dengan mewujudkan kesedaran, menarik minat dan pengetahuan dalam kalangan semua pihak terhadap landskap.
Mansor turut memaklumkan bahawa nilai eksport produk landskap seperti pokok hidup dan keratan bunga hiasan ke Singapura sahaja mencecah RM500 juta setahun – mencerminkan kekuatan pasaran landskap serantau yang perlu untuk terus diteroka.
“Kita juga sedang giat menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) untuk mengetengahkan produk dan kepakaran landskap tempatan ke pasaran antarabangsa,” katanya.
HLN bukan sekadar sebuah sambutan simbolik, tetapi platform penting dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama antara penggiat industri dengan pihak kerajaan, dan dalam masa yang sama memacu industri landskap sebagai penggerak ekonomi hijau negara.
Dengan jalinan kerjasama erat di antara Kementerian, Pihak Berkuasa Tempatan dan penggiat industri, Sambutan HLN akan terus menjadi pemangkin kepada aspirasi menjadikan Malaysia negara mampan dengan pembangunan berkualiti menjelang tahun 2035. – UTUSAN