Harga pil kuda RM5 sebiji-Polis Kelantan - Utusan Malaysia

Harga pil kuda RM5 sebiji-Polis Kelantan

HARGA pil kuda di Kelantan ketika ini RM5 sebiji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini menyebabkan harga sebiji pil kuda turun kepada RM5 berbanding RM11 sebelum ini selepas barang terlarang itu sukar untuk lolos.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, situasi itu menyebabkan pengedar terpaksa menurunkan harga untuk stok lama dadah selepas bekalan baharu sukar diperoleh susulan kawalan ketat sejak 1 Disember tahun lalu.

Menurutnya, penurunan harga bukan disebabkan oleh lambakan sebaliknya bekalan sejak kawalan ketat di sempadan.

“Sebelum ini, pil kuda dijual pada harga RM11 sebiji. Kini, dadah tersebut dijual pada harga RM5 hingga RM6 sebiji kerana pengedar terpaksa menjual stok lama dadah tersebut yang kebanyakannya sudah lama dan hampir tamat tempoh.

“Keadaan stok lama pil kuda itu juga dilihat berbeza dengan yang baharu apabila warnanya juga semakin pudar dan kesan pengambilan juga berkurangan,” pada sidang akhbar selepas Program Townhall Ketua Polis Kelantan, Cakna Remaja: Elak Gejala Sosial, Bina Masa Depan di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, aktiviti jenayah dan rentas sempadan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini turun mendadak kepada 90 peratus sejak Polis Kelantan menguatkuasakan larangan keluar masuk menggunakan pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok.

Ia melibatkan jenayah penyeludupan dadah, barangan kontraban, barangan kawalan, pemerdagangan manusia dan sebagainya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN