PUTRAJAYA: Hampir sejuta belia dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun berada di luar arus pendidikan dan pasaran buruh pada setiap tahun.
Survei Tenaga Buruh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan, peratusan belia kategori tidak dalam pendidikan, pekerjaan atau latihan (NEET) mencatatkan 10.2 peratus pada 2022 dan meningkat kepada 10.5 peratus 2023 namun menurun 8.7 peratus, tahun berikutnya.
Kadar antara lapan hingga 10 peratus itu bersamaan ratusan ribu individu, malah boleh mencecah hampir sejuta belia jika mengambil kira saiz populasi belia sekitar lapan hingga sembilan juta orang bagi tempoh 2022 hingga 2024.
Lebih membimbangkan, jurang jantina turut ketara apabila peratusan belia perempuan tidak mempunyai pendidikan dan pekerjaan lebih tinggi berbanding lelaki.
Pada 2023, kadar belia wanita terlibat mencecah 12.4 peratus berbanding 8.9 peratus bagi lelaki manakala 2024 juga menunjukkan pola sama apabila direkodkan 9.6 peratus berbanding lelaki iaitu 7.9 peratus.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr. Mohamed Tawfik Yaakub berkata, golongan muda yang berdepan tekanan ekonomi atau rasa terpinggir berisiko terjebak dalam kegiatan jenayah seperti penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral.
Justeru, katanya, keadaan tersebut amat membimbangkan dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh daripada kerajaan sekiranya sebahagian golongan muda masih tidak mempunyai pekerjaan dan pendidikan untuk menentukan masa depan mereka.
Mohamed Tawfik berkata, Malaysia mempunyai kekuatan demografi signifikan belia dengan jumlah dianggarkan antara lapan hingga sembilan juta orang dalam tempoh tiga tahun kebelakangan dan kehadiran mereka penting menentukan masa depan negara.
“Meskipun penurunan kadar itu pada 2024 memberi petunjuk bahawa pemulihan ekonomi dan peluasan peluang pekerjaan mula memberi kesan positif, namun penurunan satu hingga dua mata peratusan tetap melibatkan puluhan ribu belia.
“Keadaan itu menunjukkan masih terdapat cabaran dalam memastikan peluang ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh golongan muda. Jika dibiarkan, mereka terus terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamed Tawfik berkata, usaha berterusan perlu diperkukuh bagi memperluas akses kepada latihan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti serta sokongan pembangunan kerjaya.
Beliau mencadangkan penubuhan ‘Kementerian Super’ yang menggabungkan beberapa kementerian utama bagi menyelaras dasar dan tindakan berkaitan isu belia tidak belajar dan pekerja secara lebih bersepadu.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Kewangan perlu duduk semeja merangka perancangan drastik ini.
“Ia perlu diketuai oleh salah seorang Timbalan Perdana Menteri bagi memastikan dasar dan pelaksanaan cepat untuk mengurangkan kadar peningkatan belia dalam kategori ini.
“Malah negara seperti Jerman dan Estonia telah mewujudkan pendekatan kementerian bersepadu bagi menangani isu-isu kritikal seperti ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Tawfik mencadangkan agar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperluas secara lebih fleksibel dan tidak terikat kepada institusi semata-mata.
Katanya, pengajar serta pihak industri perlu turun padang atau menggunakan platform maya dengan modul pengajaran yang ringkas, padat dan bersifat segera bagi membantu kumpulan sasaran.
“Pihak industri juga boleh dipertimbangkan pelepasan cukai bagi menggalakkan program youth hunting (pemburuan belia) untuk membantu kerajaan mengurangkan kadar peratusan belia dalam kategori NEET,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia kini berada pada fasa penting untuk memanfaatkan tenaga muda sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.
“Kekuatan demografi hanya akan menjadi kelebihan sekiranya setiap belia diberi akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan bermaruah dan latihan yang relevan dengan keperluan industri.
“Jika tidak, bonus demografi boleh bertukar menjadi cabaran sosial dan ekonomi yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










