IPOH: Taktik menyeludup 66 ekor babi menggunakan lori bertutup kanvas bagi mengelak dihidu pihak berkuasa gagal apabila dikesan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), hari ini.
Dalam Operasi Pra MAREA di sekitar kawasan Plaza Tol Lekir, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dekat Sitiawan pada pukul 3.20 pagi itu turut membawa kepada tangkapan pemandu lori berusia 46 tahun.
Pengarah JPV Perak, Dr. Saifullizam Abd. Kadir berkata, lori tersebut ditahan di Kilometer 195.5, Lebuh Raya WCE selepas diekori sejauh lebih 10 kilometer (KM) dari Plaza Tol Lekir.
Katanya, pemeriksaan anggota penguatkuasa bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mendapati lori itu membawa babi hidup tanpa kebenaran JPV.
“Siasatan awal mendapati lori dari Pulau Pinang itu dipercayai dalam perjalanan ke selatan. Kita telah merampas semua babi itu bersama lori dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM170,000.
“Pemandu lori itu turut ditahan untuk siasatan lanju di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika sabit kesalahan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN