KUALA LUMPUR: Seramai 500 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan Op Kutip di Chow Kit dijalankan oleh Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur dalam tempoh tujuh bulan sepanjang tahun ini.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan kawasan itu yang dikenal pasti sebagai lokasi panas warga asing di ibu negara.
Menurutnya, tangkapan itu hasil pemantauan dan operasi berterusan Imigresen Kuala Lumpur di ibu negara termasuk Chow Kit khususnya bagi menangani masalah PATI.
“Sejak Januari hingga kini, operasi terus digiatkan dan keberkesanannya jelas apabila ramai warga asing kini mula rasa tidak selesa tinggal secara haram di negara ini.
“Berdasarkan statistik Imigresen Kuala Lumpur, kawasan sekitar Chow Kit merupakan lokasi hotspot utama.
“Operasi dilakukan di kawasan ini setiap dua minggu, dan setiap kali operasi, dianggarkan 50 hingga 100 orang ditahan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Menurutnya, dalam serbuan yang bermula pukul 1.15 pagi itu, seramai 72 PATI yang sedang nyenyak tidur ditahan.
Jelasnya, PATI terbabit tinggal menyewa beramai-ramai di premis rumah kedai berkenaan dengan bayaran bermula RM300 hingga ke RM500 dan rata-rata mereka bekerja di kawasan berhampiran.
“Mereka dipercayai bekerja di kawasan sekitar sebagai pekerja restoran, pembersihan dan ada juga yang bekerja sendiri.
“Ada juga PATI dikesan sudah tinggal lebih masa yang paling lama dikesan hari ini sudah dua tahun,” katanya.
Menurutnya, kesemua PATI ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan 26 wanita warga Indonesia, lelaki Myanmar (2), lelaki Bangladesh (11), lelaki India (2), lelaki Nepal (1), dan lelaki Pakistan (2) serta enam warga tempatan.
Jelasnya, pihak Imigresen juga akan mengesan pemilik premis berkenaan yang melindungi PATI terbabit untuk dikenakan tindakan.
Mengulas mengenai Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0, pihaknya menggesa warga asing supaya merebut peluang ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing secara sukarela bagi mengelak daripada menerima hukuman penjara sekiranya ditahan pihak berkuasa.
“Imigresen Kuala Lumpur menyeru kepada semua warga asing di luar sana supaya mengambil peluang menyertai PRM 2.0 yang masih berjalan sehingga April 2026.
“Jangan tunggu sehingga ditahan, jika ditahan, tindakan undang-undang yang lebih keras akan dikenakan. Gunakan peluang balik secara sah melalui PRM dengan bayaran hanya RM500 serta tambahan RM20 untuk pas khas,” katanya.-UTUSAN










