KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Nam Ron, mengakui berat hati menerima sebarang tawaran berlakon teater kerana mengalami masalah ‘stage fright’ atau gemuruh pentas.
Cerita Nam Ron atau Shahili Abdan, 55, berlakon teater lebih mencabar kerana ia dipentaskan secara langsung berbanding filem atau drama yang boleh dilakukan berkali-kali untuk mendapatkan adegan terbaik.
“Bila naik atas pentas saya ada perasaan senak perut, nak buang air dan gemuruh sangat kuat. Saya cepat terganggu. Ada satu teater, saya bawa watak ustaz kena baca doa bahasa Arab yang agak susah nak dihafal ketika itu.
“Bila sudah hafal, naik pentas pandang depan, saya nampak macam ada U-Wei dekat depan tengah pegang kepala. Hilang terus dialog itu. Hanya ulang baca Bismillah lepas itu keluar pentas. Tapi orang kata itu bukan U-Wei,” katanya.
Nam Ron ditemui Utusan Malaysia di sidang akhbar teater Persiapan Seorang Aktor, di Sudu House, baru-baru ini
Sementara itu, jelas pelakon Martabat Misi Berdarah itu lagi, rasa gugup itu tidak hanya menyerangnya sekali, malah berulang kali di teater yang lain.
“Ada juga satu lagi teater saya berlakon dengan Zahiril Adzim. Masa teater dia berpindah kedudukan, saya berpusing-pusing. Pergerakan itu pun mengganggu dan buat saya lupa dialog. Itulah yang buatkan saya berat hati nak terima tawaran berlakon pentas.
“Cuma saya tiada sebarang ritual khusus, terpaksa layan sahaja perasaan gemuruh dan baca doa sikit sebelum naik pentas. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka mudah naik atas pentas, sampaikan skrip. Tapi tak semua orang begitu,” katanya.
Bagaimapun, menurut Nam Ron dia ingin mencabar diri dengan menyertai teater Persiapan Seorang Aktor walaupun sempat ragu dengan kebolehan diri pada awalnya.
“Saya sahut cabaran sebab sudah lama tidak berlakon teater. Ia satu proses penyucian diri mengasah lagi bakat dan belajar menghadapi rasa gementar.
Terdahulu, naskhah Persiapan Seorang Aktor mendapat pengiktirafan Best Original Script & The Best Of 2024 di 20th BOH Cameronian Arts Awards.
Persiapan Seorang Aktor arahan Dr. Syahrul Musa bakal dipentaskan sekali lagi di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Petaling Jaya, selama empat hari mulai 17 Julai ini.
Selain Nam Ron, teater ini turut menampilkan pelakon Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin. -UTUSAN