Gaji pemandu kenderaan berat perlu tahap munasabah

Gaji pemandu kenderaan berat perlu tahap munasabah

GAJI semasa yang bergantung kepada bilangan perjalanan harian mendorong ramai pemandu memandu secara tergesa-gesa dan terdedah kepada keletihan melampau yang menjadi punca utama kemalangan membabitkan kenderaan berat.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan perlu menyelaras gaji pemandu kenderaan komersial terutamanya bas ekspres pada tahap munasabah bagi menangani sikap mengejar komisen sehingga memandu secara berbahaya.

Timbalan Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA), Abd. Mutalib Abd. Gapar berkata, kadar gaji asas pemandu kenderaan komersial seharusnya berada dalam lingkungan RM5,000 dan RM8,000 sebulan bergantung kepada pengalaman dan tanggungjawab berbanding kini sekitar RM3,000.

Katanya, struktur gaji semasa yang bergantung kepada bilangan perjalanan harian mendorong ramai pemandu memandu secara tergesa-gesa dan terdedah kepada keletihan melampau yang menjadi punca utama kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemandu bas terutamanya perlu dilihat sebagai tenaga kerja profesional kerana mereka menggalas tanggungjawab besar terhadap keselamatan nyawa ramai. 

“Memberikan gaji tetap yang wajar akan mengurangkan tekanan kewangan dan mengelakkan mereka daripada terus berlumba mengejar perjalanan demi komisen,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Pemandu Lori dan Bas (GPPLB), Hairi Md. Ali berkata, pemasangan peranti kawalan had laju (SLD) dijangka memberi kesan kepada pemandu kenderaan komersial menambah tempoh masa perjalanan dan mengejar mendapatkan komersial.

Ia ekoran kerajaan mahu mewajibkan semua kenderaan komersial termasuk bas dipasang SLD secara berperingkat mulai 1 Oktober ini bagi mengurangkan risiko kemalangan maut.

Mengulas lanjut, Abd. Mutalib berkata, pelarasan gaji itu juga boleh diseimbangkan dengan penambahan skop kerja yang munasabah.

“Majikan boleh menambah skop tugasan kepada pemandu seperti melakukan pemeriksaan keselamatan kenderaan sebelum memulakan perjalanan, semasa berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan selepas tamat operasi harian.

“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan pemanduan tetapi turut membentuk budaya kerja yang lebih bertanggungjawab dan profesional,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini