PETALING JAYA: Perubahan demografi global, pasaran buruh dinamik, teknologi pesat dan kelestarian menjadi tumpuan Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur September ini.
Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan global apabila terpilih menganjurkan forum berprestij yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula 29 September di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan berkata, tema forum Shaping Social Security for a World in Transition merangkumi cabaran dan peluang dalam membina sistem keselamatan sosial lebih tahan uji.
“Forum ini penting untuk merangka semula sistem perlindungan sosial agar lebih berdaya tahan, berkesan dan bersesuaian dengan peralihan global yang sangat mencabar.
“Lebih 80 sesi dijadualkan termasuk plenari, bengkel panel, sesi tutorial serta Zon Inovasi ISSA bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan serta pendekatan kreatif dalam melindungi komuniti rentan,” katanya.
Forum anjuran Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) itu dijangka menghimpunkan lebih 1,500 delegasi dari 164 negara termasuk menteri, ketua eksekutif serta pakar keselamatan sosial dunia.
Dalam masa sama, Anugerah Pencapaian Cemerlang ISSA akan diberikan kepada negara yang menunjukkan pencapaian unggul dalam membangunkan sistem keselamatan sosial secara lestari dan menyeluruh.
Penganjuran ini turut mendapat kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan disokong KWAP serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat MySPC.
“Melalui perbincangan, inovasi dan dialog strategik, kita mampu menyusun semula sistem keselamatan sosial bagi menyesuaikan diri dengan keperluan semasa dan masa hadapan,” katanya.
Penganjuran ini sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan global strategik dalam agenda kesejahteraan sejagat serta memacu reformasi perlindungan sosial nasional lebih mampan.-UTUSAN










