Fenomena pimpinan kerajaan negeri kalah kawasan

Fenomena pimpinan kerajaan negeri kalah kawasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PEMILIHAN Pas di dua kawasan di Perlis iaitu Arau dan Padang Besar setakat ini menyaksikan kejutan besar apabila hampir keseluruhan pimpinan kerajaan negeri daripada Menteri Besar, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Exco tewas dalam persaingan jawatan tertinggi parti di peringkat kawasan masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Selain Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli yang tewas jawatan Yang Dipertua (YDP) Pas kawasan Arau, penyandang jawatan Timbalan YDP, Ruselee Eizan merangkap Speaker DUN juga gagal mempertahankan kedudukan, selain seorang lagi Exco kerajaan negeri, Razali Saad tewas jawatan Naib YDP kawasan tersebut.

Di Padang Besar, dua lagi Exco kerajaan negeri iaitu Muhammad Azmir Azizan dan Wan Badariah Wan Saad turut tewas bagi pemilihan jawatan YDP dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas kawasan berkenaan.

Setakat ini, hanya seorang Exco yang berjaya menang di kawasan iaitu Mohd Ridzuan Hashim de­ngan undian cukup selesa bagi jawatan Timbalan YDP kawasan Arau.

Pemilihan Pas kawasan Kangar yang bakal berlangsung 28 Jun depan pula menyaksikan pertembungan menarik antara penyandang, Yussaine Yahya dan Senator, Baharudin Ahmad selain seorang lagi Exco kerajaan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil bertanding jawatan Naib YDP.

Adakah fenomena kekalahan pimpinan kerajaan negeri itu berlarutan di Kangar atau Asrul Aimran yang juga Ketua Pe­nerangan Pas negeri dan Baharudin mampu menempatkan diri dalam barisan kepemimpinan peringkat kawasan tersebut.

Kekalahan Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri serta barisan Exco dilihat bukan di­sebabkan penolakan, sebaliknya mungkin sebagai isyarat akar umbi untuk pemimpin kerajaan negeri dapat mengimbangi peranan di peringkat parti.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin juga pernah menegur agar perpaduan di dalam parti di negeri ini kembali dihidupkan dengan antara lain memastikan markas atau cawangan Pas dihidupkan bukan dibiarkan ‘mati’.

Kata Hashim, apabila sudah memerintah negeri, dasar yang baik perlu disokong, sebaliknya jika salah, perlu diperbetulkan.

Hashim mengambil contoh, Kompleks Pas yang sebelum ini menjadi simbol parti di negeri ini bukan bertambah makmur sebaliknya makin lemah apabila yang bertanggungjawab jarang datang ke sini selain berharap supaya markas, cawangan-cawangan Pas perlulah dihidupkan kembali dengan aktiviti.

Secara asasnya, dalam konteks jemaah Islam khususnya Pas, kemenangan sesuatu jawatan itu bukan sebagai kemegahan sebaliknya amanah dan tanggungjawab berat yang perlu dipikul. Yang kalah pula bukan menjadi penamat segalanya, sebaliknya perlu terus bersama bekerja lebih kuat di dalam jemaah.

Bagi Mohd. Shukri, kekalahan itu memberi kesedaran dan ruang kepadanya agar bermuhasabah dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan negeri dan anggota parti.

Beliau berharap barisan ke­pimpinan baharu kawasan Arau akan terus memperkukuh saf perjuangan dan membantu memperteguhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini