SIK: Perasaan terharu bercampur gembira dirasai bakal guru yang menghadapi kesukaran menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) apabila Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bersedia untuk membantunya.
Kisah Muhamad Syahmi Azril Saidijamal, 18, yang menerima tawaran ke IPG Kampus Tuanku Bainun disiarkan Utusan Malaysia, kelmarin yang menyatakan kemungkinan tidak dapat meneruskan impian menjadi guru.
Bagaimanapun, anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu kesusahan keluarganya untuk menyaranya jika dia menerima tawaran tersebut mendapat perhatian Fadhlina.
“Alhamdulillah, saya dan ibu bapa SaidiJamal Abu Said, 43, serta Nor Azlinda Ahmad, 38, sungguh terharu dan terkejut dengan berita baik yang tidak disangka-sangka ini.
“Terima kasih tidak terhingga kepada menteri yang prihatin kerana sentiasa mengambil berat tentang masalah pelajar miskin seperti saya dan sentiasa membantu kami untuk menyambung pelajaran bagi mencapai cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui semalam.
Akhbar ini melaporkan, impian seorang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 untuk melanjutkan pelajaran di IPG Kampus Tuanku Bainun, mungkin terhalang disebabkan kekangan kewangan keluarganya.
Muhamad Syahmi Azril berkata, cita-cita menjadi guru mungkin tidak tercapai walaupun telah menerima surat tawaran untuk mendaftar pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan di situ.
Sementara itu, Muhamad Syahmi Azril juga akan mendapat bantuan zakat daripada Petronas sebanyak RM250 setahun dan bayarannya dijelaskan sekali gus untuk lima tahun pengajian, manakala Kelab Anak-Anak Sik akan menyumbangkan komputer riba untuk kegunaannya di kampus. – UTUSAN











