SEREMBAN: Empat lelaki termasuk seorang warga Myanmar, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menyeleweng gas bersubsidi di Mantin, hujung bulan lalu.
Tertuduh, Lee Kin Choong, 57; Lim Chun Wee, 38; Tang Kai Lin, 28; dan warga Myanmar, Mar Thang, 31, sebagai Orang Kena Saman (OKS), membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Sementara itu, pertuduhan ke atas seorang lagi OKS, Phaway Ai, 23, ditangguhkan pada 5 Jun, menunggu kehadiran jurubahasa.
Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh secara bersama didapati ada dalam jagaan mereka barang kawalan berjadual iaitu Gas Petroleum Cecair sejumlah 1,200 kg (berat kasar) tanpa lesen yang sah.
Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pukul 6.45 petang di premis tanpa nombor di Mantin di sini, pada 30 Mei lalu.
Sehubungan itu, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Janawatul Fieza Hamisan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 kepada setiap seorang, dan tiada jaminan kepada Mar Thang kerana dia bukan warganegara.
Bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan minimum dengan alasan berpendapatan rendah, mempunyai tanggungan keluarga dan ada masalah kesihatan selain baru terbabit kemalangan.
Hakim membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bagi Kin Choong, Chun Wee dan Tang Kai Lin, manakala bagi Mar Tang dikenakan jaminan sebanyak RM8,000.
Kesemua tertuduh juga perlu melapor di Pejabat Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terdekat serta tidak mengganggu mana-mana saksi, selain pasport jika ada, diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Julai ini.-UTUSAN