Empangan Sabo Kampung Iboi, RTB Baling elak impak buruk bencana berulang

Empangan Sabo Kampung Iboi, RTB Baling elak impak buruk bencana berulang

SAIFUDDIN Nasution Ismail melawat tapak projek pembinaan Empangan Sabo Kampung Iboi di Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Pembinaan empangan Sabo di Kampung Iboi, di sini bagi memperlahankan aliran air Sungai Kupang dari Gunung Inas kini sudah mencapai tahap kemajuan kira-kira 62 peratus.

Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Kedah, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek berjumlah RM22.8 juta itu mendahului jadual sebanyak 42 peratus ketika ini.

Katanya, struktur sabo itu akan berfungsi sebagai penahan puing-puing dan memperlahankan aliran sungai bagi melindungi orang awam, harta benda dan infrastruktur ekoran banjir puing yang berlaku pada 4 Julai 2022.

“Struktur ini juga dapat mengurangkan impak kepala air yang membawa puing-puing dan banjir lumpur kepada kawasan yang memiliki penduduk daripada terjejas teruk.

“Selain itu, empangan ini berfungsi memberikan sistem amaran awal bagi melindungi orang awam dan sistem telemetri untuk memberi amaran banjir kepala air dan pemantauan banjir puing selain projek ini berupaya membaik pulih morfologi Sungai Kupang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Empangan Sabo Kampung Iboi di Kupang, hari ini.

Sementara itu, dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) iaitu RTB Baling Fasa 1 dan RTB Baling Fasa 2 bagi menangani bencana banjir dijangka siap pada 6 November 2026 dan 31 Januari 2029.

Saifuddin berkata, Baling dianggap daerah berisiko banjir kerana rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan sebanyak 17 kali bencana itu berlaku tahun lalu dan 10 kejadian sama pada 2023.

“Justeru, RTB Fasa 1 ini melibatkan kerja-kerja menarik taraf Sungai Kupang, struktur lintasan, pembinaan ban dan kerja-kerja berkaitan dilaksanakan dengan kos RM9.7 juta dan Fasa 2 pula melibatkan kos keseluruhan RM118 juta.

“Kerajaan yakin kedua-dua projek RTB ini akan memberi manfaat kepada 5,000 penduduk di Pekan Baling dan mengurangkan kerosakan harta benda akibat bencana banjir,” katanya.

Tambah Saifuddin, projek pembinaan 17 unit rumah ganti dan kemudahan awam kepada mangsa banjir puing Kampung Iboi pula akan siap pada 25 Julai ini mengikut jadual yang ditetapkan.

“17 rumah dilaporkan mengalami kerosakan teruk dalam bencana itu dan penduduk terlibat terpaksa dipindahkan. Maka, Kerajaan Persekutuan menyediakan RM3 juta bagi pembinaan rumah itu manakala penyediaan tapak rumah disediakan kerajaan negeri dengan kos RM600,000,” katanya.

Dalam kejadian 4 Julai 2022, negara dikejutkan dengan tragedi kepala air dan banjir puing melibatkan beberapa kampung di Kupang yang mengorbankan tiga mangsa dan menyebabkan 1,500 penduduknya terjejas serta puluhan kediaman rosak.

Hujan lebat lebih tiga jam di kawasan itu membawa bersama lumpur tebal, timbunan pokok serta sisa kayu dari Gunung Inas, mengakibatkan sebuah jambatan utama yang menghubungkan kampung di Sungai Iboi roboh manakala jalan utama terputus hubungan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN