PETALING JAYA: Penyanyi dan pelawak, Joey Daud, mendakwa pernah disihir seorang peserta rancangan program lawak beberapa tahun lalu.
Mengimbau kembali detik itu, Joey atau Zulkifli Daud berkata, telinganya berdesing manakala badannya berpeluh sebelum tangannya tiba-tiba tidak boleh bergerak selepas melakukan persembahan.
“Saya ingat lagi waktu itu juri bagi markah tinggi, lagi seminit persembahan nak tamat tiba-tiba telinga berdesing sampai saya tidak boleh dengar apa-apa. Badan saya berpeluh tapi saya cuba sengih, supaya orang tak tahu saya ‘diserang’.
“Turun sahaja dari pentas, saya pening dan nak tumbang mujur diselamatkan Khir Rahman. Mereka bagi minum air, selepas itu terus tangan dan badan belah kiri saya lembik, tak boleh gerak,” katanya menerusi satu temu ramah khas di rancangan audio siar, Ashrappp Channel yang tular.
Tambah penyanyi Wamsamsam itu lagi, dia pergi ke dua hospital untuk mendapatkan rawatan. Menurut doktor, walaupun bacaan kolesterolnya sedikit tinggi, namun sepatutnya tidak sampai mengakibatkan lumpuh.
Maka, Joey berkata dia kemudian mengambil jalan alternatif berjumpa tiga orang ustaz.
“Selepas dua orang ustaz kata mereka tak boleh rawat saya. Saya kemudian ke Ipoh bertemu seorang ustaz mengesahkan memang ada sesuatu dalam diri saya,” katanya.
Apabila rawatan selesai dijalankan, ustaz tersebut meminta Joey untuk selalu berzikir dan tidak melakukan apa-apa tindakan kepada pelaku sihir tersebut.
“Ustaz itu tahu saya masuk bertanding sedangkan di rumahnya tiada televisyen. Dia pesan sentiasa berzikir sebab supaya benda lain tak menumpang. Dia nak beritau siapa yang buat, tapi saya tidak izinkan.
“Ustaz itu cuma pesan jangan ambil kerja Tuhan atau lakukan sesuatu yang memudaratkan. Waktu latihan, saya akhirnya tahu siapa yang buat sebab dia tiba-tiba tepis tangan bila ajak bersalam. Sebab dia ‘panas’.
“Cuma jika ditanya logik akal, saya fikir mungkin bukan budak itu yang buat. Mungkin penjaganya yang lakukan,” ceritanya.
Bagaimanapun, Joey menganggap segala yang terjadi hanyalah sekadar pengalaman jatuh bangun sebagai anak seni. Sekiranya hanya kepalanya sahaja yang boleh bergerak, dia tetap akan naik ke pentas dan lakukan yang terbaik.
“Semangat saya kuat sebab itu tak ambil masa lama untuk sembuh. Saya buat persembahan mengengsot, tapi orang fikir itu karakter yang saya bawa. Sebagai anak seni, ini cara saya cari rezeki dan akan tetap buat yang terbaik.
“Selepas itu ada beberapa orang yang tanya termasuk wartawan, saya diam sahaja dan cakap diri baik-baik sahaja. Baru hari ini saya buka cerita ini,” katanya.
Terdahulu, Joey pernah bertandingan di sebuah program lawak menerusi kumpulan J-born bersama Khir Rahman dan Vicha pada 2020. -UTUSAN