DAP Pulau Pinang mahu isu pemberian diskaun hartanah disemak semula

DAP Pulau Pinang mahu isu pemberian diskaun hartanah disemak semula

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : DAP Pulau Pinang akan membawa isu pemberian diskaun lima peratus terhadap pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) yang diberi kepada komuniti India Muslim di negeri ini untuk semakan semula.

Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, sehubungan itu, isu tersebut akan dibincangkan semasa mesyuarat Exco negeri akan datang selepas mendapat persetujuan daripada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Steven, beliau mengambil maklum tentang maklum balas yang diterima daripada orang awam berhubung isu pemberian diskaun terhadap pembelian unit hartanah terbabit ketika ini.

“Sebagai sebuah parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan keadilan dan kebajikan kepada semua rakyat Malaysia, tak kira kaum dan agama.

“Saya juga telah membincangkan perkara ini dengan YAB (Yang Amat Berhormat) saudara Chow (Kon Yeow) dan beliau telah bersetuju agar perkara ini dibawa untuk semakan semula dan perbincangan (dalam mesyuarat Exco negeri akan datang).

“Dalam hal ini, adalah penting untuk kerajaan negeri terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo memberitahu, kerajaan negeri menggalakkan pemaju swasta untuk menawarkan diskaun sebanyak lima peratus secara sukarela kepada pembeli rumah pertama dalam kalangan masyarakat India Muslim bagi tempoh satu tahun.

Kata Sundarajoo, pemberian diskaun yang berkuat kuasa mulai 1 Jun ini sehingga 31 Mei tahun depan itu bagaimanapun tidak melibatkan unit di bawah kuota bumiputera serta tidak menjejaskan mana-mana dasar sedia ada berkaitan pemilikan rumah.

“Berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Negeri Pulau Pinang bagi Suku Keempat Tahun 2024 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), sebanyak 2,796 unit kediaman telah dikenal pasti sebagai ‘overhang’, melibatkan pelbagai jenis hartanah kediaman di seluruh negeri.

“Mengambil kira lambakan unit bukan mampu milik yang semakin membimbangkan, kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bil. 14/2025 pada 7 Mei 2025 dan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil. 5/2025 pada 3 Jun 2025 telah meluluskan satu langkah intervensi untuk merangsang semula sektor hartanah, selepas perbincangan dan persetujuan bersama pemegang taruh industri perumahan,” kata beliau.

Tambah Sundarajoo, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada usaha memperluaskan peluang pemilikan rumah dalam pasaran terbuka, khususnya bagi kumpulan yang masih rendah kadar penyertaannya, tanpa menjejaskan hak kaum lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN