KOTA BHARU: Kesakitan yang dialami sejak kecil akibat penyakit kanser retinoblastoma pada mata kiri tidak menjadi halangan buat Tengku Nurhanis Tengku Othman, 19, cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat yang merupakan calon berkeperluan khas di negeri ini yang cemerlang meraih semua A bagi subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin sekali gus memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Tengku Nurhanis berkata, dia disahkan menghidap penyakit itu semasa berusia dua tahun dan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan mata palsu sebagai pelengkap.
Menurutnya, sebaik sahaja menjejakkan kaki untuk menyambung pengajian ke tingkatan enam di sini dia tidak meletakan harapan tinggi kerana SMKA Naim Lilbanat merupakan antara sekolah terbaik di Kelantan.
“Berbekalkan semangat untuk terus berjaya, kecacatan mata itu menjadikan dia lebih kuat untuk menyambung pengajian dalam Pendidikan Tahfiz Qiraat di Universiti Islam Selangor (UIS) yang menjadi satu langkah awal bagi mengejar cita-cita sebagai pensyarah.
“Saya hanya boleh menggunakan mata sebelah kanan sahaja. Bukan perkara mudah untuk fokus semasa belajar dengan hanya bergantung kepada sebelah mata sehingga kadangkala menyebabkan saya sering sakit kepala dan mengalami mata berair,” katanya ketika ditemui pemberita di SMKA Naim Lilbanat di sini hari ini.
Tengku Nurhanis yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik memberitahu, dia sering mengamalkan surah al-Waqiah, surah Yunus dan solat tahajud ketika belajar di Imtiaz Yayasan Terengganu.-UTUSAN