TAMPIN: Anak seorang peniaga di Pasar Besar Tampin, di sini, berjaya meraih keputusan cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 apabila meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin, M. Sandhya Devi, 20, berkata, dia gembira kerana keputusan itu dapat membanggakan ibunya S Banumathi, yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai serta bapanya, S Murugeslingam, 51, yang berniaga di pasar.
“Saya belajar ini untuk mereka. Saya mahu jadi akauntan. Saya kini makin faham, setiap apa yang kita usahakan itu pasti akan mendapat ganjaran hasilnya dan kita seharusnya tidak cepat berputus asa.
“Keluarga saya memang dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah namun tidak menghalang saya untuk fokus kepada pengajaran yang disampaikan oleh guru-guru di sekolah,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Tampin, di sini, hari ini.
Sementara itu, Murugeslingam berkata, dia berasa sangat bersyukur apabila anaknya itu tidak patah semangat untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam,
Dalam pada itu, Pengetua SMK Tunku Besar Tampin, Nor Amai Sham berkata, sekolah berkenaan buat pertama kalinya berjaya mencatatkan keputusan terbaik STPM sejak 101 penubuhan sekolah berkenaan.-UTUSAN.









