KOTA BHARU: Trio yang pernah digeruni di persada Liga Malaysia (Liga M) suatu ketika dahulu bakal bergabung kembali bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan Ex-The Red Warriors (TRW) Treble untuk menentang Double Treble Kedah dalam satu perlawanan persahabatan amal di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Jumaat ini.
Bekas penyerang kebangsaan Lubnan, Mohamed Mahmoud Ghaddar akan kembali bergandingan dengan bekas penyerang prolifik, Nor Shahrul Idlan Talaha atau Matyo dan pemain legenda, Indra Putra Mahayuddin.

Ketua Pegawai Eksekutif PUC Sport, Mohd. Shukry Pauzi selaku penganjur berkata, kehadiran trio berkenaan bakal menggamit kembali kenangan di era kegemilangan TRW sekali gus menjadi daya penarik utama kehadiran penyokong serta peminat bola sepak Kelantan ke stadium.
“Kehadiran Ghaddar bakal memecahkan suasana Stadium Sultan Muhammad IV kerana ramai merindui aksinya di atas padang. Kita ada masa cukup singkat untuk mempromosikan perlawanan persahabatan amal ini tetapi diharap ia bukan faktor penghalang kehadiran penyokong.
“Kita juga sedang berbincang dengan Dickson Nwakaeme sekiranya dia sudi bermain sekali lagi pada perlawanan tersebut seandainya masih berada di Kelantan ketika itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penajaan (Kelantan WTS FC & Nara United) dan Perluasan Empayar PUC Sprot Thailand, di sini malam tadi.
Mohd. Shukry memberitahu, peminat sukan bola sepak Kelantan bakal disajikan dengan perlawanan lebih menarik dan sengit pada perlawanan persahabatan kali ini, berikutan Ex-TRW Treble bakal berdepan lawan lebih kuat dan juara tiga piala dua kali berturut-turut sebelum mereka.
Katanya, bagaimanapun perkara lebih penting adalah perlawanan tersebut perlu dijadikan pentas pembuka aura sokongan kepada tiga pasukan mewakili Kelantan dalam saingan Liga M musim 2025-2026.
“Kita rasa bangga apabila Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) dan Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) bakal membawa nama negeri di pentas Liga A1 Semi Pro, manakala Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) di pentas Liga Super,” ujarnya. – UTUSAN









