Bukan nak tiru abang saya - Syed Iqbal - Utusan Malaysia

Bukan nak tiru abang saya – Syed Iqbal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak mahu timbul salah faham, penyanyi baharu, Syed Iqbal, 24, menegaskan bahawa keputusannya membawakan lagu berbahasa Arab menerusi single Basstamam bukanlah kerana ingin meniru abangnya yang juga pendakwah terkenal, Da’i Syed.

Sebaliknya, menurut pemilik nama penuh Syed Muhammad Iqbal Jamalulleil itu, minatnya terhadap qasidah dan bahasa Arab sudah berputik sejak zaman kanak-kanak lagi.

“Bukan saya nak ikut atau tiru abang saya. Memang sejak kecil saya sudah terbiasa dengan lagu-lagu Arab dan sering berqasidah.

“Kami sekeluarga pun menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pertuturan harian,” katanya.

Menariknya, sebelum bergelar penyanyi, Syed Iqbal terlebih dahulu aktif sebagai penterjemah bahasa Arab bagi beberapa ulama tersohor dari luar negara.

“Saya banyak terlibat dalam sesi terjemahan untuk tokoh-tokoh agama seperti Habib Zaid Yahya, Habib Idrus Al Aydrus dan Sheikh Mukhtar Jamel.

“Bahasa Arab sudah sebati dengan diri saya. Malah, bila berjumpa rakan pun saya lebih selesa berbicara dalam bahasa itu,” ujarnya lagi.

Tambah Syed Iqbal, bahasa Arab bukan sahaja menjadi medium dalam karier seninya, malah turut menjadi bahasa perantara dalam kehidupan seharian bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Dalam perkembangan, lagu Basstamam ciptaan Amir Hufaz dan Wan Salleh, dengan lirik oleh AbdulKarim Al Ali dan Wan Salleh, semakin mendapat perhatian selepas mencatat lebih 300,000 tontonan di YouTube.

Lagu yang menggabungkan elemen moden dan klasik Arab itu turut mendapat maklum balas positif daripada peminat yang mengakui tertarik dengan kelainan dibawa Syed Iqbal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN