PELABUHAN KLANG : Arus kuat dan keadaan persekitaran lokasi insiden menjadi cabaran utama dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa masih hilang melibatkan sebuah bot di perairan Tanjung Harapan, di sini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, aktiviti penyelaman belum dapat diteruskan kerana kawasan pencarian serta lokasi sebenar kejadian tidak dapat dipastikan.
“Pencarian di permukaan telah dijalankan dalam radius tertentu, namun masih belum menemukan sebarang petunjuk.
“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa dihanyutkan oleh arus deras, lokasi sebenar kejadian juga masih dalam siasatan kerana keadaan arus dan persekitaran yang mencabar,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi SAR di Tanjung Harapan hari ini.
Katanya, bot berkenaan telah berjaya ditarik naik bagi mengesan sekiranya terdapat mangsa yang terperangkap di dalam kabin.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati tiada mangsa ditemukan di dalam bot tersebut.
“Setakat ini operasi pencarian kini difokuskan di permukaan air sahaja,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR ini akan dihentikan kira-kira pukul 7 petang ini dan akan disambung semula pada keesokan hari mengikut prosedur ditetapkan.-UTUSAN