PETALING JAYA: Selepas dipecat sebagai ahli UMNO pada 2023, kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai ahli parti terbesar orang Melayu itu terus menarik perhatian dan menjadi tanda tanya.
Ketika ramai yang mahu beliau kembali, banyak juga suara yang mempersoalkan sama ada bekas Ketua Pemuda UMNO itu mampu mengubah UMNO andainya beliau kembali menyertai parti terbesar orang Melayu itu.
Bagi Khairy sendiri, beliau sehingga kini belum memutuskan untuk kembali kepada pangkuan UMNO.
“Belum hantar surat. Hari ini saya bukan hadir program politik. Itu ‘hint’ terima kasih sebab jemput ke program ini.
“Bila sampai masa sesuai nanti saya akan maklumkan (masuk semula UMNO),” katanya kepada pemberita selepas forum Rundingan Meja Bulat Nasional 1.0, Reformasi Sistem Pendidikan Pada Zaman Kecerdasan Buatan (AI) dan Pemerkasaan Institusi Guru di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO sentiasa bersikap terbuka dan mengalu-alukan kehadiran semula mana-mana ahli yang masih setia serta percaya kepada perjuangan asal parti, termasuk yang pernah digantung atau dipecat sebelum ini.
“Ada salurannya. Bukan sahaja untuk KJ (Khairy), tapi semua yang digantung atau pernah keluar parti. Kalau naluri perjuangan mereka masih bersama UMNO, kita ucapkan selamat datang,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu.
Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Perlis,, Saiful Fariddil Jasmi, kemasukan semula Khairy mampu menarik semula sokongan khususnya dalam kalangan anak muda terhadap parti itu.
Kata beliau, aura bekas Menteri Kesihatan itu juga mampu membantu mengukuhkan kembali UMNO khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Katanya, pemuda negeri khususnya cukup terbuka dan menyambut baik sekiranya Khairy bersedia untuk kembali bersama UMNO yang bakal memberi nilai tambah kepada parti.
“Kita harap masing-masing mengenepikan ego dan bersama-sama berusaha untuk mengukuhkan parti. Kita hendak hadapi PRU16, tidak lama lagi dan pemimpin yang mempunyai aura seperti Khairy sangat diperlukan,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula berpendapat, kemasukan semula Khairy ke dalam UMNO tidak cukup untuk memulihkan imej parti serta mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO.
Beliau berkata, usaha mengembalikan keyakinan rakyat bukan bergantung kepada seorang individu sahaja, sebaliknya memerlukan kerja berpasukan dan kerjasama semua peringkat dalam parti.
“Tidak ada jaminan seorang individu boleh memulihkan sebuah parti. Ini kerja berkumpulan, bukan kerja satu orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, sekalipun Khairy mempunyai reputasi baik dan pengaruh kuat di luar parti, UMNO tidak bergantung kepada populariti peribadi mana-mana tokoh semata-mata untuk bangkit semula.
“UMNO tidak boleh berharap pada seorang untuk mengubah segala-galanya. Semua kelompok dalam parti perlu bekerja.
“Kepimpinan tertinggi UMNO dah tegaskan bahawa jawatan tinggi memang tidak akan diberikan pada peringkat awal. Dalam UMNO tiada istilah masuk terus jadi orang penting,” katanya.
Sebagai orang yang telah lama bersama UMNO, beliau berpendapat, Khairy sendiri memahami selok-belok parti dan tidak memerlukan sesiapa untuk mengarahkannya bila perlu kembali.
“Tiada penghalang untuk beliau kembali. Pintu sentiasa terbuka, dan KJ sendiri tahu bila masa yang sesuai,” jelasnya. – UTUSAN










