KAJANG: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 lagi anggota pertubuhan itu dibebaskan semalam, selepas tempoh hukuman penjara 15 bulan dikenakan ke atas mereka telah berakhir.
Kesemua mereka sebelum itu dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah atas tuduhan pilihan menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Kesemua individu yang berada dalam reman sejak tahun lalu, dibebaskan kerana tempoh pemenjaraan berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada September 2024.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah serta keinsafan kesemua tertuduh.
Semalam, Nasiruddin mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang di sini.
Selain Nasiruddin, turut membuat pengakuan sama ialah isteri beliau, Azura Md. Yusof, 58; dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib Ashaari, 33.
Mereka membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan pilihan dibacakan secara serentak di hadapan Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar.
Turut mengaku salah pada prosiding itu ialah lapan tertuduh wanita, Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Selain itu, 11 lagi tertuduh lelaki ialah Hasnan Abd. Hamid, 54; Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd. Fazil Md. Jasin, 58; Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 kerana menjadi ahli kepada pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali.
“Mahkamah mengambil maklum pengakuan bersalah serta keinsafan (kesemua) tertuduh. Berdasarkan kiraan pentadbiran, tempoh tahanan yang dijalani sudah mencukupi dan mereka akan dibebaskan hari ini (semalam) selepas urusan pentadbiran selesai.
“Mahkamah juga mengambil kira kesemua tertuduh wanita telah berada dalam tahanan reman selama enam bulan sebelum dibenarkan diikat jamin pada April lalu serta menunjukkan keinsafan dan rasa kesal atas perbuatan mereka,” kata hakim itu.
Menurut peguam yang mewakili semua tertuduh, Datuk Rosli Kamaruddin, walaupun Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan, setelah mengambil kira tempoh cuti umum dan hujung minggu, anak guamnya bebas serta-merta.
“Hari ini (semalam), kesemua 22 tertuduh bebas dan boleh pulang ke rumah masing-masing selepas pihak pentadbiran penjara melengkapkan proses pelepasan dan pengembalian wang jaminan,” katanya.
Terdahulu, kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu menjadi ahli kepada pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Pada 30 Oktober lalu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan mahkamah bahawa pihak mereka telah menerima representasi yang dikemukakan dan menawarkan pertuduhan pilihan.
Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-dua sekali.
Sebelum ini kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah premis di Jalan Desa, Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Penahanan Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 lagi anggota pertubuhan GISBH itu sebelum ini mendapat liputan meluas apabila mereka turut dikaitkan dengan aktiviti pengubahan wang haram dan penderaan kanak-kanak. Kesemua dakwaan tersebut dinafikan oleh mereka. – UTUSAN










