WASHINGTON: Meta memperoleh 10 peratus daripada jumlah keuntungan tahunan syarikat atau AS$16 bilion (RM66.81 bilion) daripada iklan berkaitan penipuan dan barangan terlarang, menurut dokumen dalaman syarikat itu yang dilihat Reuters.
Sejumlah dokumen belum pernah dilaporkan sebelum ini menunjukkan gergasi media sosial itu gagal selama sekurang-kurangnya tiga tahun untuk mengenal pasti dan menghentikan lambakan iklan penipuan yang mendedahkan berbilion pengguna Facebook, Instagram dan WhatsApp kepada skim pelaburan serta e-dagang palsu, kasino dalam talian haram dan penjualan produk perubatan yang dilarang.
Secara purata, menurut satu dokumen bertarikh Disember 2024, Meta memaparkan kira-kira 15 bilion iklan berisiko tinggi yang jelas menunjukkan tanda-tanda penipuan kepada pengguna setiap hari.
Satu lagi dokumen dari akhir 2024 menyatakan syarikat itu memperoleh sekitar AS$7 bilion (RM29.24 bilion) hasil tahunan daripada kategori iklan penipuan ini.
Sebahagian besar aktiviti penipuan itu datang daripada pengiklan yang cukup mencurigakan sehingga ditandai oleh sistem amaran dalaman Meta.
Namun, syarikat hanya menyekat pengiklan jika sistem automatiknya meramalkan dengan sekurang-kurangnya 95 peratus kepastian yang mereka benar-benar melakukan penipuan.
Jika tahap kepastian lebih rendah tetapi syarikat masih percaya pengiklan itu berkemungkinanpenipu, Meta mengenakan kadar iklan yang lebih tinggi sebagai denda yang dikatakan bertujuan menghalang pengiklan daripada terus menyiarkan iklan.
Dokumen itu turut menyatakan pengguna yang menekan iklan penipuan berkemungkinan akan melihat lebih banyak iklan serupa, berikutan sistem personalisasi iklan Meta yang menyesuaikan paparan berdasarkan minat pengguna.
Pendedahan ini muncul ketika pengawal selia di seluruh dunia mendesak Meta untuk melindungi pengguna daripada penipuan dalam talian.
Di AS, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) menyiasat Meta berhubung dakwaan ia menyiarkan iklan bagi skim penipuan kewangan, menurut dokumen dalaman.
Di Britain, satu badan kawal selia tahun lalu mendapati produk Meta terlibat dalam 54 peratus daripada semua kerugian akibat penipuan pembayaran pada 2023, lebih dua kali ganda berbanding semua platform sosial lain digabungkan.
Konflik keuntungan, tanggungjawab
Butiran penilaian sulit Meta itu diperoleh daripada dokumen yang dihasilkan antara 2021 dan tahun ini oleh bahagian kewangan, lobi, kejuruteraan dan keselamatan syarikat.
Secara keseluruhannya, ia mencerminkan usaha Meta mengukur skala penyalahgunaan pada platformnya serta keraguan syarikat untuk mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan perniagaan.
Pemeriksa Penipuan dan bekas Penyiasat Keselamatan Meta, Sandeep Abraham yang kini mengendalikan firma perunding Risky Business Solutions berkata, penerimaan Meta terhadap hasil yang datang daripada sumber yang disyaki terlibat dalam penipuan menonjolkan kelemahan pengawasan peraturan terhadap industri pengiklanan.
“Jika pengawal selia tidak akan membenarkan bank mendapat untung daripada aktiviti penipuan, mereka juga tidak sepatutnya membenarkan ia berlaku dalam sektor teknologi,” katanya kepada Reuters.
Jurucakap Meta, Andy Stone berkata, dokumen yang dilihat oleh Reuters itu memberikan pandangan terpilih yang memesongkan pendekatan Meta terhadap penipuan dan scam.
Katanya, anggaran dalaman Meta yang menyatakan 10.1 peratus hasil tahun 2024 datang daripada penipuan dan iklan dilarang adalah kasar dan terlalu inklusif kerana ia turut memasukkan banyak iklan sah.
Stone berkata, syarikat kemudian mendapati angka sebenar adalah lebih rendah, namun enggan mendedahkan jumlah terkini.
“Penilaian itu dijalankan untuk mengesahkan pelaburan integriti kami yang dirancang termasuk dalam memerangi penipuan serta scam dan kami sudah berbuat demikian.
“Kami secara agresif memerangi penipuan kerana pengguna, pengiklan sah dan kami sendiri tidak mahukan kandungan sebegitu.
“Sepanjang 18 bulan lalu, kami sudah mengurangkan laporan pengguna mengenai iklan scam di seluruh dunia sebanyak 58 peratus dan setakat 2025, kami menyingkirkan lebih 134 juta kandungan iklan scam,” katanya.
Katanya, beberapa dokumen menunjukkan Meta berjanji untuk mempertingkatkan usaha.
Satu pembentangan oleh staf keselamatan pada Mei 2025 menganggarkan platform Meta terlibat dalam satu pertiga daripada semua kes penipuan yang berjaya di Amerika Syarikat (AS).
Meta juga mengakui dalam dokumen lain beberapa pesaingnya lebih berkesan menyingkirkan penipuan daripada platform mereka.
“Lebih mudah untuk mengiklankan scam di platform Meta berbanding Google,” menurut satu semakan dalaman Meta pada April 2025 mengenai komuniti dalam talian tempat penipu membincangkan kegiatan mereka.
Namun, dokumen itu tidak menyatakan sebab di sebalik kesimpulan tersebut.










