PETALING JAYA: Kerajaan Madani mengambil langkah untuk tidak mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas barangan keperluan asas harian.
Kementerian Kewangan memaklumkan langkah itu supaya tidak memberi kesan secara langsung kepada kos sara hidup majoriti rakyat dan kadar inflasi kekal terkawal.
Katanya, semakan semula SST hanya mensasarkan barangan pilihan dan premium kepada lima atau 10 peratus seperti cendawan truffle, basikal lumba dan king crab.
“Antara produk yang tidak dikenakan SST adalah daging ayam, daging itik, daging lembu, udang, sotong, ikan tilapia, ikan bilis, susu segar, tomato, kubis dan timun.
“Ubat-ubatan, peralatan perubatan dan barangan keagamaan seperti sejadah, tasbih juga dikecualikan daripada SST,” katanya menerusi Facebook rasmi, hari ini.
Bermula 1 Julai ini, semakan semula cukai SST akan dilaksanakan yang tidak melibatkan barangan dan perkhidmatan asas.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semakan semula SST telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian. – UTUSAN










