KAMPOT, KEMBOJA: Sebanyak 45 ekor lembu dan seekor kambing disembelih dalam Kembara Kemboja 2025 Bank Rakyat, di sini hari ini.
Program seusai solat sunai Aidiladha itu dimulakan di Masjid Kampung Trapeng Prinh dengan 10 ekor lembu disembelih.
Siri kedua penyembelihan lembu korban diteruskan di Maahad Imam As-Syafie di Kampung Keh dengan 35 ekor lembu dan seekor kambing.
Imam Masjid Kampung Trapeng Prinh, Ishak Abdullah berterima kasih atas kesudian Bank Rakyat memilih kawasan tersebut dalam kembara korban kali ini.
Katanya, daging-daging tersebut akan diagihkan kepada kira-kira 200 keluarga di situ selain diberikan kepada ahli kariah masjid berdekatan.
“Kami berbesar hati menerima rombongan dari Malaysia yang saban tahun datang ke sini untuk mengadakan ibadat korban,” katanya.
Program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif Program Kembara Qurban Kemboja yang diperkenalkan sejak tahun 2015, yang turut menjadi platform Bank Rakyat berkenaan dalam memperluaskan usaha Jangkauan Komunitinya ke peringkat antarabangsa.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria, tujuan utama program ini adalah menyantuni penduduk di kawasan pedalaman Kemboja yang hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.
Katanya, ia juga memberi peluang kepada mereka yang beragama Islam untuk merasai kenikmatan dan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha seperti umat Islam di negara lain.
”Inisiatif pelaksanaan ibadah korban ini sejak dianjurkan pada tahun 2018 telah manfaat kepada pelbagai masyarakat, khususnya golongan asnaf, selain mencerminkan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap Akaun Simpanan-i Tabung Qurban”, katanya.
Pada tahun ini, selain melaksanakan agihan daging korban, Bank Rakyat bersama rakan strategik turut menyalurkan bantuan makanan asas kepada 150 keluarga di Kampung Swai Relom, Wilayah Kandal, Kemboja.
Setiap keluarga menerima 10 kilogram beras sebagai sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan ini.
Rakan strategik bagi Program Kembara Korban Kemboja Bank Rakyat terdiri daripada Maahad Imam Syafie (MIS) Kampung Keh Kampot, Pusat Wakaf Endowmen Zakat Khairat dan Sedekah (WEZAS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan As-Syafie serta Shafi’e Charitable Association.-UTUSAN