RAKYATpreneur bantu usahawan ke arah perniagaan digital

RAKYATpreneur, UNIpreneur 2025 bantu usahawan ke arah perniagaan digital

EWON Benedick (empat dari kiri) bergambar selepas perasmian Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat terus memperkasa usahawan dan siswa asnaf melalui pelaksanaan program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2025 yang menumpukan kepada aspek teknologi dan pendigitalan dalam perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program tersebut memberi peluang kepada usahawan untuk memanfaatkan teknologi digital dalam perniagaan selaras dengan visi Malaysia sebagai sebuah negara maju yang inklusif dan progresif.

“Komitmen institusi kewangan seperti Bank Rakyat bukan sahaja membantu memperkukuh kedudukan kewangan usahawan asnaf tetapi turut menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya ketika merasmikan Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2025 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.

Majlis perasmian ini menghimpunkan lebih 50 usahawan RAKYATPreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur dengan pelbagai jualan produk ditawarkan seperti makanan dan minuman, pakaian dan aksesori, kraftangan, barangan kecantikan dan kesihatan.

Sebelum ini, program tersebut memfokuskan kepada pembangunan produk, pembungkusan dan teknologi kewangan (fintech), tetapi tahun ini usahawan didedahkan dengan penggunaan platform digital eBiz Tools Marketplace yang merangkumi pembukaan Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i), penggunaan sistem i-BizRAKYAT serta penyelesaian fintech percuma.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, kedua-dua program tersebut telah berkembang secara berperingkat bermula dengan suntikan dana permulaan dan modul asas keusahawanan sehingga strategi pemasaran digital dan program pembangunan lain seperti Accelerator.

“Kami berharap inisiatif tersebut dapat membantu 800 usahawan RAKYATpreneur dan UNIpreneur lebih maju dalam operasi perniagaan, berdaya saing dan berusaha meningkatkan nilai kebolehpasaran produk dan perkhidmatan mereka,” katanya

Tambahnya, program ini telah membantu 2,633 usahawan dan siswa asnaf dengan jumlah sumbangan mencecah RM13.04 juta sejak empat tahun penganjurannya.

Seorang alumni RAKYATpreneur, Mohamad Zamzum berkata, Bank Rakyat banyak memberi sokongan dari aspek kewangan dan ilmu perniagaan sehingga dia berjaya meluaskan pasaran produknya ke United Kingdom dan Rusia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN