Banglo biru selamat, hadiah bermakna menjelang Aidiladha

Banglo biru selamat, hadiah bermakna menjelang Aidiladha

MOHD. Yazit Idris menunjukkan kediamannya di Kampung Tanjung, Batu Rakit di Kuala Nerus, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Selepas hampir enam bulan tidak tidur lena, pemilik banglo berwarna biru di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini, akhirnya menarik nafas lega apabila kediamannya yang terjejas ekoran hakisan pantai, dapat diselamatkan. 

Mohd. Yazit Idris, 66, berkata, kerja-kerja penambakan yang dilakukan kerajaan sejak 21 Mei lalu siap sepenuhnya pada Khamis lepas. 

“Alhamdulillah, saya sangat lega rumah saya dapat diselamatkan.Tambakan bongkah batu dan tanah dilakukan di sekeliling rumah saya setinggi 2.4 meter dan kerja ini bukan mudah. Saya bersyukur, rumah ini selamat.

“Ini adalah hadiah yang amat bermakna kepada saya dan keluarga sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal tiba,” katanya hari ini.

Mohd. Yazit berkata, meskipun sekitar kawasan rumahnya telah ditambak, dia masih lagi bimbang kejadian rumahnya yang dipukul ombak besar berulang kembali pada musim Monsun Timur Laut (MTL)

“Bagaimanapun, saya sangat berharap kerja-kerja pembinaan benteng pemecah ombak yang kini sedang berjalan dapat disiapkan sebelum MTL. Jika projek itu siap, bukan hanya rumah saya dapat diselamatkan, malah beberapa buah rumah penduduk lain juga mungkin selamat,” katanya. 

Menurutnya, fenomena ombak besar hujung tahun lalu telah menenggelamkan lebih 85 meter tanah miliknya selain sebahagian besar tanah asal di kawasan itu juga terhakis. 

Banglo bernilai RM600,000 itu dibina Mohd Yazit enam tahun lalu sebagai tanda cinta kepada arwah isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos, yang kemudiannya meninggal dunia pada 2019 akibat kanser usus. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN