MELAKA: Satu sindiket pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran tumpas selepas polis menahan 15 warga asing dalam operasi khas di pekarangan lobi sebuah hotel di Ayer Keroh di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat dan risikan menerusi Op Pintas yang dijalankan kira-kira pukul 5 petang, 18 Disember lalu.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dan lima wanita dipercayai warga Myanmar berusia 21 hingga 39 tahun yang disyaki terlibat secara langsung dalam jenayah berkenaan.
“Polis turut merampas sebuah motosikal dan sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang dipercayai bertindak sebagai ejen,” katanya hari ini.
Christopher berkata, kesemua suspek direman sehingga 15 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda,” katanya. – UTUSAN










