China, AS usaha capai gencatan senjata Thailand-Kemboja - Utusan Malaysia

China, AS usaha capai gencatan senjata Thailand-Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: China dan Amerika Syarikat (AS) berusaha mencapai gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja menjelang Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur pada 22 Disember ini.

Usaha diplomatik itu menyusul pertempuran terburuk antara kedua-dua negara jiran berkenaan yang mengorbankan kira-kira 60 orang serta memaksa lebih setengah juta penduduk dipindahkan dari kawasan sempadan.

Menurut Jabatan Negara AS, Setiausaha Negara, Marco Rubio menghubungi Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, hari ini dengan menyuarakan kebimbangan Washington serta menggesa Bangkok meredakan ketegangan dan kembali kepada perjanjian gencatan senjata.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar China memaklumkan Menteri Luar, Wang Yi, telah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Thailand dan Kemboja semalam, dengan kedua-dua pihak menyatakan hasrat untuk meredakan ketegangan serta mencapai gencatan senjata.

“Pertempuran kali ini jauh lebih teruk berbanding sebelum ini. Jika berterusan, tiada pihak akan mendapat manfaat dan ia boleh menjejaskan kesatuan ASEAN,” menurut kenyataan kementerian itu, sambil memaklumkan seorang utusan khas China telah melawat kedua-dua negara bagi membantu memulihkan keamanan.

Kementerian Luar Thailand pula berkata, Sihasak telah menyampaikan pendirian Bangkok kepada Rubio, selain berkongsi maklumat mengenai langkah seterusnya termasuk penyertaan Thailand dalam mesyuarat ASEAN pada Isnin ini.

Panggilan telefon antara Sihasak dan Wang Yi turut disahkan, namun pihak Kemboja setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan terbaharu itu.

Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn, dijangka menghadiri mesyuarat ASEAN berkenaan yang akan menjadi pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua pihak sejak pertempuran kembali memuncak pada 8 Disember lalu.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menjadi pengantara gencatan senjata pada Julai lalu, berkata beliau kekal optimis namun berhati-hati, memandangkan kedua-dua perdana menteri Thailand dan Kemboja menyatakan keinginan untuk mencari penyelesaian secara aman.

Thailand dan Kemboja sebelum ini saling menuding jari berhubung kegagalan gencatan senjata Julai lalu yang kemudiannya diperluas pada Oktober, dengan pertempuran kini membabitkan kawasan sempadan luas dari hutan pedalaman berhampiran Laos hingga ke wilayah pesisir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×