Australia lancar skim pembelian balik senjata api - Utusan Malaysia

Australia lancar skim pembelian balik senjata api

ANTHONY ALBANESE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Kerajaan Australia akan melaksanakan skim pembelian balik senjata api di peringkat kebangsaan susulan tragedi tembakan semasa acara perayaan Yahudi di Pantai Bondi, Sydney, yang mengorbankan 15 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.

Perdana Menteri, Anthony Albanese berkata, langkah itu diambil bagi memperkukuh keselamatan awam dan mencegah kejadian keganasan bersenjata berulang, susulan insiden yang disifatkan antara paling tragik dalam sejarah moden negara itu.

Katanya, skim berkenaan dijangka membolehkan ratusan ribu senjata api dikumpul dan dimusnahkan, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan senjata dalam kalangan orang awam.

“Skim ini menyasarkan senjata api yang dimiliki secara sah tetapi tidak lagi diperlukan, selain senjata tidak berdaftar yang masih berada dalam simpanan awam,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Selain pembelian balik, kerajaan turut merancang pembaharuan undang-undang senjata api termasuk penubuhan daftar senjata api kebangsaan serta penguatkuasaan had pemilikan senjata oleh individu.

Langkah tegas itu mengimbau kembali tindakan kerajaan Australia selepas tragedi Port Arthur pada 1996, yang menyaksikan lebih 650,000 senjata api dikumpul dan dimusnahkan melalui skim serupa.

Dalam pada itu, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan terhadap serangan di Bondi yang berlaku ketika sambutan Hanukkah, dengan kejadian tersebut dipercayai bermotifkan kebencian dan mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan komuniti minoriti.

Kerajaan Persekutuan menegaskan keselamatan awam kekal sebagai keutamaan, dan pelaksanaan skim pembelian balik senjata api itu merupakan sebahagian daripada usaha menyeluruh bagi mengekang keganasan bersenjata pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×