KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.
Pada masa sama, benteng pertahanan negara itu perlu menjadikan peperangan antara Iran dan Israel sebagai teladan betapa mudahnya maklumat di media sosial digunakan untuk melancarkan serangan.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, peperangan antara Iran dan Israel serta konflik Gaza menunjukkan bahawa landskap politik global semakin mencabar dan tidak menentu.
Seri Paduka bertitah, undang-undang antarabangsa juga dilihat tidak mampu lagi untuk memelihara keamanan sejagat.
“Oleh sebab itu, adalah penting bagi Angkatan Tentera Malaysia untuk sentiasa bersedia dan dilengkapi dengan teknologi pertahanan terkini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Ini kerana kita tidak tahu siapakah kawan dan siapakah lawan,” titah Seri Paduka pada Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim juga mahu kerajaan memastikan tiada campur tangan politik atau pengaruh dari syarikat pembekal dalam proses perolehan peralatan.
Titah Seri Paduka, pucuk pimpinan ATM juga hendaklah sentiasa amanah dan tidak terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah.
“Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, saya tidak akan bagi muka kepada sesiapa juga yang menggunakan kedudukan untuk kesenangan peribadi,” titah Seri Paduka.
Sultan Ibrahim bertitah, peperangan yang berlaku baru-baru ini juga memperlihatkan betapa mudahnya Iran dan Israel menggunakan maklumat yang diperoleh daripada syarikat teknologi awam, aplikasi pintar dan media sosial untuk melakukan serangan.
Justeru Seri Paduka menegur mengenai budaya penggunaan media sosial di kalangan anggota tentera.
“Janganlah memuatnaik semua perkara termasuk maklumat berhubung organisasi, penempatan pasukan, lokasi gerakan dan lain-lain maklumat sensitif mengenai Angkatan Tentera Malaysia.
“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Guna akal fikiran dan jangan kita mendedahkan pelbagai perkara untuk tontonan umum.
“Adalah lebih baik kita beringat supaya tidak menyesal di kemudian hari,” titah Sultan Ibrahim.-UTUSAN









