PETALING JAYA: Perdana Menteri menyatakan kebimbangannya berhubung konflik yang berlaku di antara Iran dan Israel susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menyerang tiga tapak nuklear republik itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendamaian sebenar perlu digerakkan melalui menekan Israel supaya tidak bersikap provokatif terhadap negara lain.
“Bila serang, bunuh orang, itu tentu ada jawapan tindak balas daripada Iran. Kita ambil pendirian yang agak adil.
“Di Gaza terus dibunuh termasuk wanita dan anak-anak dan sekarang dia (Israel) serang Iran dan Iran putus untuk lawan. Dan sekarang bila ada campur tangan dari negara luar termasuk AS, bukankah lebih mengeruhkan,” katanya di Kuching hari ini.
Anwar mengingatkan masalah besar akan berlaku kepada ekonomi dunia jika Selat Hormuz ditutup susulan peperangan antara ketiga-tiga negara itu setakat ini.
“Bagi saya, paling penting ialah nyawa manusia dan keadilan. Katakan tidak memilih, sekurang-kurangnya ambil keputusan hentikan keganasan. Maknanya, (jika mendesak) jangan izinkan Iran tindak balas, tetapi kenapa izinkan Israel bertindak sebegitu rupa?,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Presiden AS, Donald Trump menyifatkan tentera AS melaksanakan serangan udara ‘sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear Iran di tengah-tengah kebimbangan terhadap tercetusnya konflik lebih meluas di rantau itu.
Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Tehran dan menegaskan bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear, sesuatu yang berulang kali dinafikan Iran. – UTUSAN