ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyarankan agar anak-anak Kedah yang berjaya dalam bidang masing-masing untuk tampil menyumbang kepada negeri itu.
Baginda bertitah, sumbangan boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti zakat, sedekah, wakaf, pelaburan, tenaga kepakaran mahupun inisiatif sosial demi kemajuan negeri.
“Beta percaya, jika setiap anak Kedah yang berjaya memberikan kembali kepada negeri, maka negeri ini akan terus makmur, berdaya saing dan disegani. Inilah semangat Kedah Sejahtera yang bukan sekadar slogan tetapi satu usaha bersama,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-83 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Berangkat sama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff; Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
Tambah Sultan Sallehuddin, kejayaan setiap individu tidak hanya dirai dan dinikmati secara peribadi semata-mata, sebaliknya dijadikan sebagai satu amanah dan tanggungjawab untuk kembali menyumbang kepada negeri itu.
Dalam titah berkenaan, baginda menzahirkan rasa syukur dengan prestasi pelaburan di Kedah, yang terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
Titah baginda, hal itu jelas menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap potensi Kedah, sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan stabil.
Namun, Sultan Sallehuddin menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi negeri mestilah bersifat menyeluruh, inklusif dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Beta ingin melihat tumpuan strategik diberikan kepada sektor-sektor berimpak tinggi, yang bukan sahaja menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, bahkan membawa kesan limpahan ekonomi yang besar kepada negeri,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut membangkitkan isu penyebaran ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar yang boleh menggugat keselamatan dalam negeri.
Baginda menitahkan agar Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAINK), masjid-masjid, surau-surau serta sekolah-sekolah agama memainkan peranan agar usaha dan tindakan membendung ajaran sesat, fahaman menyimpang dan pengaruh radikal dilaksanakan dengan lebih tegas namun berhemah.
“Peranan para ulama, imam dan para pendakwah yang diiktiraf dan bertauliah amat penting dalam membimbing masyarakat. Beta ingin memberi peringatan agar sebarang kupasan agama, ceramah dan dakwah yang disampaikan hendaklah tepat, agar tidak menimbulkan kekeliruan atau perpecahan dalam masyarakat,” titah baginda. – UTUSAN