Perjalanan panjang Cheong Min berbaloi di pentas dunia

Perjalanan panjang Cheong Min berbaloi di pentas dunia

TAN Cheong Min antara 10 atlet yang tercalon dalam Anugerah Sukan Negara
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP senyuman manis dan pingat yang digenggam ratu wushu negara, Tan Cheong Min menyimpan kisah luka yang tidak pernah dilupakan.

Tahun 2023 menjadi detik paling pahit buatnya selepas peluang untuk merangkul pingat emas pada Kejohanan Dunia edisi ke-16 di Amerika Syarikat (AS) berkecai.

Atlet kelahiran Tanjung Minyak, Melaka itu berkata, tubuhnya tidak lagi mampu melawan, malah masalah kesihatan turut meragut peluang meraih emas pada kejohanan itu.

“Pada kejohanan di AS, saya tidak dapat beraksi dengan baik kerana mengalami demam. Ketika itu, saya baru sahaja melalui beberapa kejohanan penting berturut-turut, tubuh kurang rehat, ditambah pula dengan perjalanan hampir dua hari serta cuaca yang sejuk, semuanya menjejaskan prestasi saya,” katanya.

Namun, atlet berusia 27 tahun itu tidak menjadikan kegagalan itu sebagai noktah buatnya apabila beliau bangkit menebus kekecewaan lalu pada Kejohanan Dunia di Brazil baru-baru ini selepas merangkul dua pingat emas dan satu gangsa.

Tan Cheong Min

“Syukur pada Kejohanan Dunia di Brazil tahun ini,saya akhirnya kembali berdiri di podium dan membawa pulang pingat untuk Malaysia. Ia bukan perjalanan yang mudah, terutamanya bagi seorang atlet wanita,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ironinya, pada 2019 jugalah Cheong Min mengecapi momen manis apabila meraih emas sulung individu di World Wushu Championship Shanghai.

“Kemenangan 2019 ini lebih bermakna kerana ia datang daripada usaha individu. Ia terasa sangat berbaloi kerana segala penat lelah terbayar,” katanya.

Perjalanan getir itu bukan sahaja mengajarnya erti sabar dan ketabahan ,malah Ia menjadi titik tolak kepada sebuah cerita yang bermula jauh lebih awal sewaktu beliau berusia sembilan tahun di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng, Melaka.

“Saya mula menceburi sukan wushu ketika berusia 9 tahun. Pada awalnya, niat saya hanya untuk mengisi masa lapang dan menjaga kesihatan.

“Namun titik perubahan berlaku ketika saya berusia 12 tahun apabila saya terpilih menyertai pemilihann bagi Kejohanan Wushu Remaja Dunia kali ketiga di Singapura,” katanya.

Bermula dari sekadar aktiviti kokurikulum, wushu akhirnya menjadi satu rutin kehidupan buat atlet kebangsaaan ini.

“Kami menjalani kem latihan selama tiga minggu di Bukit Jalil, dan di situlah saya mula berazam untuk menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan. Latihan bersama senior yang berpengalaman membakar semangat saya,” jelasnya.

Kini, anak kedua daripada empat beradik itu sudah lebih sedekad menyarung jersi Malaysia serta mengharumkan negara di persada dunia.

“Saya mempunyai seorang abang serta dua orang adik. Mereka sentiasa menjadi penyokong utama saya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata inspirasi beliau dalam sukan wushu datangnya daripada juara dunia, Lin Fan.

“Semangat beliau sentiasa memberi kekuatan kepada saya. Ia mengingatkan saya bahawa kegagalan bukan bermakna segalanya sudah berakhir, sebaliknya ia tanda kita masih perlu belajar dan bersedia dengan lebih baik,” katanya.

Antara detik paling pahit buatnya ialah di Sukan Asia di Jakarta apabila peluang podium hanya tinggal selangkah namun, beliau bangkit di Hangzhou lima tahun kemudian dengan kejayaan manis.

“Bagi saya, pingat yang diraih bukan sahaja milik saya, tetapi juga milik semua yang sentiasa menyokong,” jelasnya.

Misi terdekat Cheong Min kini adalah meraih emas Sukan SEA di Thailand yang akan berlangsung pada Disember ini.

“Saya mahu memastikan diri saya benar-benar bersedia, memberikan persembahan terbaik, serta mengelakkan kecederaan.

“Saya percaya saya masih mampu menyumbang sesuatu kepada pasukan kebangsaan,” katanya. – UTUSAN

Biodata

Nama: Tan Cheong Min
Umur: 27
Tarikh lahir: 20/08/1998
Asal: Tanjung Minyak,Melaka
Pendidikan: Sarjana Pentadbiran Perniagaan, SPE UPM
Pekerjaan: Atlet

 

Pencapaian:
2025
17th World Wushu Championship, Brasilia Brazil 2025
– Women Nangun, Women Duilian – Emas
– Women nandao – Perak

12th The World Games, Chengdu China
– Women Nanquan + Nandao – Emas

2024
3rd Taolu World Cup, Yokohama Japan
– Women Nangun – Emas
– Women Nanquan – Perak

10th Asian Wushu Championship, Macau China
– Women Nandao – Emas
– Women Nanquan, Women Nangun – Perak

2023
19th Asian Games, Hangzhou China
– Women Nanquan + Nandao – Perak

16th World Wushu Championship, Texas US
– Women Nangun – Gangsa

32nd Sea Games, Cambodia
– Women Nanquan, Women Nandao + Nangun – Emas

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN