Cik Bunga ikut rapat juga isu membabitkan seorang pempengaruh berwajah tua tetapi usianya masih muda yang baru-baru ini menjadi bahan bualan ramai di segala platform media massa.
Geram Cik Bunga dengan dia ini apalagi perbuatannya menjadikan seorang remaja sebagai mangsa gangguan seksual sangat tidak boleh dimaafkan.
Cik Bunga dengar, kononnya ada beberapa mangsa lain juga terkena cuma bab itu belum tahu kesahihannya. Tapi kita boleh agaklah yang pempengaruh ini seakan sengaja mensasarkan remaja dan kanak-kanak bawah umur sebagai mangsa eksploitasi seksualnya. Teruknya!
Tetapi kalau sebut mengenai isu ini, Cik Bunga pelik juga dengan tingkah bapa kepada mangsa terbabit yang juga merupakan seorang selebriti dan pelakon.
Sebut nama memang orang kenal sangat. Tapi malaslah Cik Bunga nak sebut namanya di sini. Sensitif. Jika diperhatikan, si bapa seakan tidak berbunyi langsung mengenai isu serius yang menimpa anak perempuannya itu.
Walhal, sebagai bapa, dia sepatutnya menjadi pelindung si anaklah. Apatah lagi isu begini bukan satu perkara yang boleh dianggap remeh. Sekurang-kurangnya dia kenalah bersuara menegakkan keadilan untuk anaknya.
Memanglah antara dia dan bekas isteri sudah tidak ada hubungan, tetapi anak tetap anak bukan? Tak akanlah tak ada sekelumit perasaan untuk dia membela nasib si anak? Kenapa memilih membisu dan diam membatu?
Tahulah sibuk dengan hasrat nak bina rumah tangga baharu, tetapi jangan pula buat-buat lupa dengan tanggungjawab sebagai seorang bapa.
Tetapi, iyalah, kita tidak tahu juga andai kata di belakang tabir, isu mengenai anaknya ini telah diuruskan secara domestik. Maksud Cik Bunga, diselesaikan dengan keluarga secara dalaman. Iya, mungkinlah juga.
Cuma, kesal jugalah andai kata benar dia tidak bersikap peduli pun dengan nasib anaknya. Apa punya perangailah jika begitu bukan?