KUALA TERENGGANU: Perbuatan khurafat di kawasan kubur di negeri ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abd. Aziz berkata, perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3A, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Mana-mana individu yang melakukan perbomohan, sihir atau apa-apa yang bercanggah boleh dikenakan tindakan. Hukuman yang boleh dikenakan adalah denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan terdapat individu yang mengambil tanah kubur mangsa nahas bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nurly Shahirah Azman bagi tujuan khurafat.
Aizi Saidi berkata, Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Besut menjalankan pemantauan secara berkala bagi memastikan tiada amalan syirik atau khurafat berlaku di kawasan perkuburan tersebut.
Pada 2022, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022 bagi memperkasa pelaksanaan undang-undang syariah di negeri itu.
Pindaan itu bertujuan menambah baik Enakmen Kesalahan Syariah Jenayah (Takzir) Terengganu 2001 yang merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada.
Tambahan empat seksyen baharu itu melibatkan Seksyen 3A (perbomohan dan sihir), 29A (hamil atau melahirkan anak luar nikah), 33A (perempuan berlagak lelaki) dan 36A (persediaan melakukan liwat).
Bagi Seksyen 3A, JHEAT telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelaras dan memantau kesalahan dibawah seksyen tersebut. – UTUSAN











