E-ART penyelesaian terbaik kesesakan Johor Bahru

E-ART penyelesaian terbaik kesesakan Johor Bahru

Tren Sistem Transit Rapid (RTS) melakukan ujian perjalanan bermula dari depoh Wadi Hana ke Singapura melalui rel di Bukit Meldrum, Johor Bahru, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pembinaan sistem Transit Aliran Autonomi Bertingkat (E-ART) disifatkan sebagai penyelesaian jangka masa panjang terbaik dan paling berkesan bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di bandar raya ini.

Presiden Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM), Prof. Dr. Muhammad Zaly Shah berkata, projek itu berada dalam perancangan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan telah dibincangkan bersama Kementerian Pengangkutan sejak 2023.

Sehubungan itu, beliau memberitahu pengumuman daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan projek pengangkutan moden yang dinanti-nantikan penduduk Johor Bahru.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelaksanaan E-ART perlu disegerakan tanpa sebarang penangguhan kerana jangkaan peningkatan kemasukan trafik dan juga pelawat dari Singapura sebaik sahaja Sistem Transit Rapid (RTS) Link mula beroperasi kelak.

“Sektor korporat dan pemaju hartanah tempatan juga digesa memberi sokongan terhadap projek ini bagi memastikan matlamat Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) dapat dicapai secara menyeluruh di sepanjang laluan E-ART,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Pengarah Institut Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar (RISE) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini juga dituntut mengintegrasikan jajaran E-ART dalam perancangan fizikal masing-masing, terutama menerusi penyelarasan semula dokumen Rancangan Tempatan.

“Langkah bersepadu penting bagi memastikan impak pembangunan perkhidmatan itu berjalan seiring dengan ketersediaan infrastruktur pengangkutan moden, sekali gus memberi limpahan manfaat ekonomi terus kepada rakyat.

“Apabila beroperasi sepenuhnya kelak, sistem pengangkutan awam baharu ini dijangka mampu mengurangkan masa perjalanan harian pengguna darat secara signifikan khususnya di sekitar kawasan metropolitan Johor Bahru,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu struktur kadar tambang juga perlu bersifat mesra rakyat, termasuk pengenalan pas subsidi tambang bulanan seumpama program My50 yang kini dinikmati penduduk di Lembah Klang bagi menarik lebih ramai pengguna. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini