Ambil kira takwim aktiviti dalam perancangan silibus

Ambil kira takwim aktiviti dalam perancangan silibus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Guru hari ini perlu kreatif merancang pe­ngajaran dan pemudahcaraan (PdPc) bagi memastikan silibus mata pelajaran dapat diselesaikan pada tempoh ditetapkan.

Presiden Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, dakwaan bahawa banyak silibus tidak dapat diselesaikan walaupun sudah memasuki pertengahan tahun kerana terlalu banyak program adalah tidak tepat.

Katanya, warga pendidik sepatutnya merancang untuk menghabiskan sukatan de­ngan mengambil kira takwim aktiviti Kementerian Pendidikan (KPM) dan sebagainya.

“Semua sekolah sudah maklum berkenaan program di peringkat daerah, negeri, kebangsaan. Tinggal lagi bagaimana hendak memastikan pelaksa­naan program itu tidak menjejaskan PdPc sahaja.

“Guru perlu kreatif dan memanfaatkan masa instruksional semasa PdPc dengan sebaik- baiknya, perlu perancangan yang sistemik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Akhbar ini melaporkan, sekumpulan guru meluahkan rasa bimbang kerana masih banyak silibus mata pelajaran tidak dapat diselesaikan, meskipun sudah memasuki separuh tahun persekolahan.

Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, jumlah program di sekolah dan di luar sekolah yang ba­nyak menyebabkan kaedah PdPc yang dirancang tertangguh.

Mohd. Azizee berkata, guru perlu melihat beban yang wujud dalam tugas harian mereka sebagai positif dengan menganggapnya cabaran kerana setiap pekerjaan mempunyai beban.

“Isu beban adalah bersifat subjektif, ia perlu ambil kira lokaliti sekolah, bilangan murid, kompetensi guru dan bentuk beban tersebut. Penambahan pembantu guru oleh KPM adalah langkah mengurangkan beban guru.

“Jadi sudah ada tindakan di peringkat KPM seperti perubahan kurikulum 2027 adalah satu inisiatif mengurangkan beban, begitu juga meningkatkan penguasaan dan kemahiran guru agar fasih digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN