BAGAN SERAI: Seorang peniaga di sini mencipta kelainan dengan memperkenalkan roti canai durian Musang King pada harga RM5 sekeping, sekali gus menarik perhatian penggemar durian sempena musim raja buah itu.
Menu unik itu diusahakan Shik Khalil Abd. Karim, 48, yang menggunakan isi durian Musang King asli yang dibawa khas dari Raub, Pahang bagi memastikan pelanggan dapat menikmati rasa dan aroma sebenar buah premium berkenaan.
Katanya, setiap keping roti canai diisi dengan dua ulas isi durian Musang King tanpa dicampur dengan bahan lain sebelum dimasak dan dihidangkan kepada pelanggan.
“Idea menghasilkan menu ini tercetus bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang menikmati Musang King pada harga mampu milik selain menawarkan kelainan kepada penggemar durian.
“Ramai pelanggan terkejut apabila mengetahui harga ditawarkan hanya RM5 sekeping kerana kebiasaannya Musang King dijual pada harga lebih mahal.
“Kami mahu pelanggan rasa sendiri gabungan rasa lemak manis Musang King dengan tekstur roti canai yang rangup di luar dan lembut di dalam,” katanya.
Menu roti canai istimewa itu hanya dijual sepanjang musim durian kerana bergantung kepada bekalan.
Katanya, hingga kini sambutan diterima amat menggalakkan apabila pelanggan dari luar kawasan turut datang bagi mencuba menu ditawarkan.
“Kebanyakan pelanggan mencuba buat kali pertama akan datang semula bersama keluarga dan rakan-rakan kerana tertarik dengan keunikan rasanya,” katanya.
Gerainya beroperasi 7 pagi setiap hari dan jualan roti canai Musang King berlangsung sehingga pukul 12 tengah hari atau sehingga habis. – UTUSAN











