Amanah mahu tambah keahlian, elak terus dilabel sebagai parti 'penumpang'

Amanah mahu tambah keahlian, elak terus dilabel sebagai parti ‘penumpang’

MOHAMAD Sabu (tengah) ketika Majlis Perasmian Pejabat Amanah Negeri Pulau Pinang dan Kenduri Rakyat di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Parti Amanah Negara (Amanah) akan terus menambah bilangan ahlinya di setiap negeri agar tidak lagi dilihat sebagai parti ‘penumpang’ dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) selepas ini.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pertambahan keahlian itu juga secara tidak langsung akan mengukuhkan kedudukan parti tersebut pada masa depan.

“Parti Amanah sekarang ini bukan di peringkat hendak bertahan dengan keahliannya. Dia kena menambah sebab dia adalah parti yang agak kecil dan sedang membesar.

“Jadi, kita sedang memperhebatkan peranan Amanah di setiap negeri sebab kita tidak mahu Amanah dilihat sebagai parti ‘penumpang’, tetapi, parti yang bekerjasama serta memberikan sumbangan kepada pembentukan kerajaan yang lepas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Pejabat Amanah Negeri Pulau Pinang dan Kenduri Rakyat di Sungai Dua di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung Amanah merangkap Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Faiz Fadzil.

Sejak diasaskan hampir 10 tahun yang lalu, Amanah yang memperjuangkan ideologi Islam progresif dan reformis itu telah berjaya menarik sehingga 200,000 keahlian di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Amanah kini di peringkat akhir rundingan untuk mendapatkan kerusi bagi bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.

Katanya, rundingan tersebut sebelum ini mengambil masa yang agak lama kerana landskap politik di Sabah agak kompleks disebabkan bilangan parti politik yang agak banyak.

“Kita (Amanah) pergi ke sana (Sabah) sebagai satu pasukan (PH) dan akan membuat perundingan dengan parti-parti politik di Sabah.

“Jadi, kita berharap sangat agar Amanah dapat ‘beranak’ di Sabah nanti kerana Amanah kini sedang berusaha menambah bilangan ahlinya termasuk di sana. Itu harapan kita,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN